Politeknik Kota Bharu Juara Keseluruhan Pertandingan Innocreate Peringkat Kebangsaan 2025

KOLEJ KOMUNITI SEGAMAT
03 October 2025
Penyelidikan dan Inovasi

Segamat, 1 Oktober 2025 – Segamat Central menjadi saksi kepada kemeriahan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Innocreate Peringkat Kebangsaan 2025 yang telah disempurnakan oleh En. Rosli Bin Puteh, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Pengurusan Sekolah), Pejabat Pendidikan Daerah Segamat.

Program ini merupakan anjuran Pusat Penyelidikan Dan Inovasi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi. Ianya juga merupakan kelolaan bersama Kolej Komuniti Segamat dan Politeknik & Kolej Komuniti Negeri Johor.

Pertandingan yang menghimpunkan 54 pasukan dari seluruh negara ini telah dibahagikan kepada empat kategori utama, iaitu Pengurusan, Projek Akhir, Teknikal dan Terbuka. Penganjuran ini bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat, tetapi turut menjadi wadah untuk mencungkil idea-idea kreatif dan inovatif yang mampu memberi impak kepada masyarakat serta industri.

Dalam ucapan aluannya, En. Zahid Bin Daim, Pengarah Kolej Komuniti Segamat, menekankan bahawa inovasi merupakan asas penting dalam pembangunan komuniti dan kemajuan industri.

“Inovasi bukan hanya bermakna mencipta sesuatu yang baharu, tetapi ia juga berkait rapat dengan keupayaan meningkatkan kualiti hidup, memperkukuh keusahawanan, serta memacu daya saing industri” jelas beliau.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, En. Rosli Bin Puteh merakamkan penghargaan kepada semua peserta, penganjur dan tenaga penggerak yang menjayakan pertandingan ini.

“Melalui pertandingan seperti ini, kita dapat melihat semangat juang serta kreativiti yang mampu mencetuskan perubahan positif dalam masyarakat,” katanya.

Keputusan Pemenang:

>Juara Keseluruhan & Juara Kategori Teknikal: Politeknik Kota Bharu

>Juara Kategori Pengurusan: Kolej Komuniti Muar

>Juara Kategori Terbuka: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Jasin

>Juara Kategori Projek Akhir: Kolej Komuniti Segamat

Kemenangan ini membuktikan bahawa inovasi mampu lahir daripada pelbagai latar belakang – sama ada institusi pendidikan, agensi kerajaan mahupun pasukan komuniti – sekaligus mengukuhkan kepentingan kerjasama dalam mencipta solusi yang relevan untuk masa depan.

Majlis Penyampaian Hadiah Innocreate 2025 ini bukan sahaja meraikan kejayaan para pemenang, tetapi juga menjadi inspirasi kepada semua peserta untuk terus melangkah jauh dalam bidang inovasi dan teknologi.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti