Politeknik Kutaraja Jalin Sinergi Pendidikan dengan PTSB

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
14 August 2024
Umum

Kulim, 13 Ogos 2024 – Politeknik Kutaraja, Banda Aceh, Indonesia telah memulakan lawatan ke Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) untuk memperkukuh kerjasama akademik dan industri.

Delegasi yang diketuai oleh Direktur Desy Puspita turut disertai oleh lapan pensyarah dari institusi tersebut disambut baik oleh Dr. Mohd Nor Azam bin Mohd Dali, Timbalan Pengarah Akademik yang mewakili Pengarah PTSB. Turut hadir menyantuni delegasi adalah ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua unit di PTSB yang memperlihatkan komitmen dan keakraban dalam meraikan kedatangan delegasi Politeknik Kutaraja.

Lawatan ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman dalam pembangunan Pendidikan Tinggi, teknologi pendidikan dalam perdagangan dan kejuruteraan serta memperhebat usaha mewujudkan program pengantarabangsaan pelajar pada masa hadapan.

Indra Akbar, Ketua Kerjasama Politeknik Kutaraja, menyatakan keterujaannya dengan pengalaman ini. “Lawatan ini membuka mata saya kepada banyak inovasi yang boleh kita terapkan di Politeknik Kutaraja. Saya berharap kerjasama ini akan membawa manfaat besar kepada pelajar dan tenaga pengajar kita,” ujarnya.

Dr. Mohd Nor Azam bin Mohd Dali, Timbalan Pengarah Akademik PTSB, dalam ucapannya menyatakan kesediaan PTSB untuk berkongsi kepakaran pensyarah, mempergiat inisiatif TVET termasuk program pertukaran pelajar antarabangsa bagi merealisasikan matlamat bersama kedua-dua institusi.

Kejayaan lawatan ini bukan hanya diukur dari sudut akademik tetapi juga dari hubungan interpersonal yang terjalin menjadikan kerjasama ini lebih bermakna dan berkesan untuk masa depan pendidikan kedua-dua negara.

Delegasi Politeknik Kutaraja bergambar bersama Pengurusan Tertinggi Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah yang diwakili oleh Dr. Mohd Nor Azam bin Mohd Dali, Timbalan Pengarah Akademik bersama ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua unit di PTSB

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti