Politeknik Lahirkan Graduan Holistik Melalui Pendekatan TVET

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
09 October 2024
Akademik, Alumni, Industri, Komuniti, Umum

KULIM – Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) terus komited dalam melahirkan graduan yang holistik, berketerampilan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan. Majlis Konvokesyen PTSB ke-18 yang berlangsung pada 6 dan 7 Oktober 2024 menyaksikan seramai 1,023 graduan diraikan, di mana mereka bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malah aktif dalam kokurikulum hingga ke peringkat nasional dan antarabangsa.

Majlis yang penuh bermakna ini turut melakar sejarah dengan kehadiran Dato’ Azlam Shah bin Alias, Pengerusi MR DIY Group (M) Berhad, yang buat julung kalinya menyampaikan penganugerahan kepada graduan Jabatan Perdagangan dalam sidang ketiga Majlis Konvokesyen Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah ke-18.

Dalam ucapannya, Dato’ Azlam menyentuh peranan penting TVET dalam membentuk pelajar yang bukan sahaja mahir dari segi teknikal tetapi juga seimbang dari segi pembangunan sahsiah. Beliau menekankan bahawa politeknik dan kolej komuniti telah berjaya melahirkan lebih 40,000 pelajar usahawan yang holistik melalui pelbagai program yang merangkumi aspek keusahawanan, kemahiran dan inovasi.

“Graduan hari ini bukan sekadar pemegang diploma tetapi mereka adalah harapan kepada keluarga, masyarakat dan negara. Keberanian untuk mencuba sesuatu yang baru serta sentiasa bersikap jujur dalam menyesuaikan diri dengan perubahan adalah kunci kejayaan mereka di masa hadapan,” ujar beliau sambil menyeru para graduan agar terus berani mengejar impian.

HALA TUJU TRANSFORMASI POLITEKNIK 2023-2035 DAN PEMERKASAAN KOLEJ KOMUNITI 2024-2035

Politeknik dan kolej komuniti juga konsisten dalam merangka masa depan pendidikan melalui Hala Tuju Transformasi Politeknik 2023-2035 dan Pemerkasaan Kolej Komuniti 2024-2035. Inisiatif ini menyasarkan untuk melahirkan graduan yang kekal relevan dengan keperluan industri yang semakin kompleks.

Melalui pendekatan seperti Work-Based Learning (WBL) dan Program Sepanjang Hayat (PSH), PTSB memberi ruang kepada pelajar untuk belajar secara praktikal sambil membina daya tahan diri dalam situasi sebenar industri.

KEJAYAAN MR DIY BERI INSPIRASI

Apa yang lebih menarik, Dato’ Azlam berkongsi pengalaman beliau tentang kejayaan MR DIY yang bermula daripada sebuah kedai kecil kini menjadi jenama runcit perkakasan terbesar dengan harga yang lebih murah daripada semua pesaing di pasaran dengan lebih 1,200 cawangan di seluruh negara serta berjaya menembusi perniagaan di Eropah, Turkiye termasuk Asia Tenggara seperti Brunei, Thailand dan Indonesia. Kisah ini memberi inspirasi kepada graduan bahawa dengan ilmu dan semangat juang yang tinggi, mereka juga mampu mengubah nasib hidup mereka.

Dato’ Azlam Shah turut memuji usaha PTSB dalam mengukuhkan sinergi bersama industri yang membolehkan graduan memperoleh pengalaman industri secara langsung dan bersedia menghadapi cabaran masa depan dengan lebih yakin.

“Pendidikan TVET tidak hanya membina kemahiran teknikal tetapi juga mengasah daya saing dan kebolehsuaian pelajar dalam apa jua cabaran yang mendatang. Inilah yang menjadikan graduan PTSB istimewa,” ujar Dato’ Azlam.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti