Bernama, 10 Ogos 2023
10 Ogos 2023, Jakarta – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz (PSA) memeterai kerjasama dengan Politeknik Negeri Batam (Polibatam), Indonesia melalui Agreed Minutes of Meeting (AMM) bagi memperkukuh hubungan strategik serantau dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pengarah PSA Dr. Norhayati Zakaria dan Pengarah Polibatam Dr. Uuf Brajawidagda menandatangani AMM tersebut dalam satu majlis sempena pembukaan Pagelaran Vokasi 2023 yang diadakan di Polibatam, Batam, Indonesia.
Menurut Dr. Norhayati, kolaborasi tersebut merupakan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkasa kerjasama sebagai institusi TVET merentas sempadan.
“Perjanjian yang ditandatangani ini secara kolektifnya bertujuan untuk memperkukuh hubungan sedia ada seperti berkongsi kepakaran dan amalan terbaik terutamanya dalam bidang penyelidikan dan inovasi serta memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat bagi membentuk ekosistem TVET yang mampan,” ujarnya yang ditemui selepas majlis berkenaan semalam.
Deligasi PSA turut disertai Timbalan Pengarah Akademik Ts. Dr. Ahmad Aftas Azman, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Mohd Mubarak Shamsuddin serta pengurusan PSA.
Pagelaran Vokasi 2023 yang diadakan selama dua hari itu merupakan program tahunan Politeknik Negeri Se-Indonesia yang merangkumi pelbagai aktiviti seperti International Business Administration Competition (IBAC), PBL Expo, pameran kerjaya serta aktiviti keusahawanan dan kebudayaan.
Pada tahun ini, PSA turut terlibat dengan menghantar sebanyak tiga penyertaan pelajar dalam IBAC serta dua orang pensyarah sebagai juri.
Sebanyak lebih 20 politeknik dari seluruh Indonesia mengambil bahagian pada kali ini.
Majlis Pembukaan Pagelaran Vokasi 2023 disempurnakan oleh Deputi 2 Kantor Staf Presiden Indonesia Abetnego P Putra Tarigan serta dihadiri oleh pegawai-pegawai kerajaan, wakil-wakil politeknik serta pihak industri.