Putrajaya, 30 Nov 2024 – Politeknik Merlimau (PMM) menerima pengiktirafan “2023 Excellent Education Partner Award” di majlis Autocount Education Appreciation Awards yang berlangsung di Dorsett Hotel, Putrajaya.
Anugerah ini diberikan kepada institusi pendidikan yang terlibat aktif dengan sistem perakaunan berkomputer Autocount daripada AutoCount Sdn Bhd. Sebanyak 25 institusi yang mendapat pengiktirafan ini yang terdiri daripada institut pengajian tinggi awam dan swasta. Politeknik Merlimau merupakan salah satu daripada 15 politeknik yang menerima pengiktirafan ini. Pencapaian ini merupakan pengiktirafan yang hebat terhadap dedikasi institusi tersebut dalam memberikan pendidikan berkualiti dan membina kerjasama strategik dengan pelbagai pihak. Anugerah ini pastinya menjadi inspirasi kepada pelajar, tenaga pengajar, dan seluruh warga politeknik untuk terus cemerlang dan menyumbang kepada pembangunan pendidikan serta modal insan negara.
Kursus Autocount Computerized Accounting System ditawarkan kepada pelajar Diploma Akauntansi, Jabatan Perdagangan bermula tahun 2020. Sehingga kini, Politeknik Merlimau telah melahirkan seramai 632 pelajar yang berjaya memperoleh Sijil Pencapaian Autocount Computerized Accounting System. Selain itu, Politeknik Merlimau juga aktif menawarkan kursus ini kepada pelajar Diploma Pengajian Perniagaan dan Diploma Pemasaran melalui Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).
Turut disampaikan pada majlis tersebut sijil ‘Certificate in Autocount Computerized Accounting’ dari Institute of Accountants & Bookkeepers (IAB) yang disampaikan sendiri oleh Sarah Palmer, CEO IAB Group. Sijil disampaikan kepada dua orang pensyarah Jabatan Perdagangan iaitu Puan Noor Hafizah binti Hassan dan Puan Norzalifah binti Abu.
Moga Politeknik Merlimau khususnya Jabatan Perdagangan (JP) dapat meneruskan lagi komitmen untuk menjadikan Auto Count Sdn Bhd sebagai rakan kongsi pendidikan pada masa akan datang demi menyediakan platform yang terbaik kepada pelajar Diploma Akauntansi, PMM dan bergerak seiring dengan perkembangan teknologi semasa di industri.