
Muadzam Shah, 3 Ogos – Seramai 73 orang pelajar Diploma Pengurusan Pelancongan, terdiri daripada 66 orang pelajar Semester 5 dan 7 orang pelajar Semester 6, telah menyertai Program Kebolehpasaran Graduan: Amadeus Global Certification Reservation and Ticketing yang berlangsung di Tourism Computer Centre (TCC), Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH), Politeknik Muadzam Shah (PMS). Program yang diadakan pada 20 hingga 23 Julai 2026 (Siri 1) dan 27 hingga 30 Julai 2026 (Siri 2) ini merupakan kali pertama dilaksanakan di Politeknik Muadzam Shah.
Sepanjang program, para pelajar didedahkan kepada penggunaan Amadeus Selling Platform Connect, iaitu sistem tempahan global yang digunakan dalam industri pelancongan dan penerbangan. Mereka mempelajari kemahiran seperti membuat tempahan penerbangan, membina Passenger Name Record (PNR), mengira tambang dan mengeluarkan tiket elektronik. Pelajar yang berjaya melepasi penilaian akan dianugerahkan Sijil Profesional Amadeus (Amadeus Global Certification) sebagai pengiktirafan terhadap kompetensi mereka.
Pensyarah kursus, Puan Nurul Huda binti Awang Kalong berkata, “Program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada kejayaan pelajar dalam membina kerjaya yang cemerlang dalam industri pelancongan. Gunakan pensijilan Amadeus ini sebagai kelebihan untuk bersaing dalam dunia pekerjaan.”
Sementara itu, wakil pelajar, Saudari Nur Aishah binti Abdullah, menyifatkan program tersebut sebagai pengalaman yang sangat bermakna. Beliau berkata, “Program ini memberikan pengalaman yang sangat bermakna dan meningkatkan keyakinan kami dalam menggunakan sistem Amadeus. Saya berharap ilmu dan pensijilan yang diperoleh dapat membantu kami pada masa hadapan.”
Dalam pada itu, penceramah program, Encik Al Miza bin Jusrizal, turut berkongsi harapan beliau kepada para peserta. Menurut beliau, “Teruskan berlatih dan manfaatkan kemahiran yang telah dipelajari sepanjang program ini. Semoga pensijilan Amadeus menjadi kelebihan kepada para pelajar apabila melangkah ke alam pekerjaan.”
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH) dalam memperluaskan peluang pelajar memperoleh pelbagai pensijilan kompetensi dan profesional yang diiktiraf industri. Inisiatif ini diharapkan dapat mempersiapkan pelajar menghadapi latihan industri serta meningkatkan kebolehpasaran graduan Politeknik Muadzam Shah dalam bidang pelancongan, hospitaliti dan pengurusan perjalanan.

Disediakan oleh,
Puan Nurul Huda Binti Awang Kalong (Pensyarah JPH PMS)