
PERMATANG PAUH, 24 FEBRUARI 2025 – Politeknik Seberang Perai (PSP) menjadi politeknik pertama di Malaysia yang menubuhkan Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM Centre. Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, merasmikan STEM Centre Politeknik Seberang Perai (PSP). Majlis ini merupakan anjuran Yayasan Amal TYT Pulau Pinang dengan kerjasama PSP.
STEM CENTRE Politeknik Seberang Perai merupakan kesinambungan daripada Program Mini Teater STEM Pulau Pinang yang telah dilancarkan pada 29 Oktober 2024 lalu. Penubuhan pusat ini mencerminkan keprihatinan Tun Ahmad Fuzi dalam memperkasa pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam kalangan pelajar di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud berkata, penubuhan STEM Centre ini bakal menjadi pengubah keadaan (game changer) dalam ekosistem pembelajaran STEM formal dan tidak formal di Malaysia. Tambah beliau lagi “Dianggarkan seramai 20,000 pelajar politeknik dan kolej komuniti di Pulau Pinang akan memperoleh manfaat langsung daripada STEM Centre ini. Pembelajaran tidak formal di STEM Centre ini juga secara tidak langsung dapat menyokong dan memperkukuhkan pembelajaran formal di sekolah, politeknik, universiti dan institusi pendidikan negara.
Menurut Pengarah PSP Roseliza Dato’ Shaari, STEM Centre ini seiring dengan aspirasi negara untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang teknologi. Dengan adanya STEM Centre ini, PSP berpotensi menjadi pusat rujukan utama dan pemangkin minat generasi muda terhadap STEM,” katanya.
Hadir Bersama YBhg. Dato’ Seri Sr. Haji Rozali Bin Haji Mohamud, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal TYT, YBhg. Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari bin Ismail, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBhg. Dato’ Haji Baderul Amin bin Abdul Hamid, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Dato’ Kamarul Haizal bin Koderat, Pengarah PSP, Roseliza binti Dato’ Shaari serta Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Pengarah-pengarah POLYCC Pulau Pinang serta dif-dif jemputan.