POLITEKNIK SEBERANG PERAI (PSP) TURUN PADANG BERSAMA KOMUNITI ORANG ASLI AIR BANUN

POLITEKNIK SEBERANG PERAI
06 October 2025
Komuniti

Gerik, Perak, 30hb September 2025 – Dengan semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial, warga Politeknik Seberang Perai (PSP) melalui Unit Sukarelawan PSP, dengan kerjasama Qwerty, Alumni PSP dan Puspanita PSP, telah melaksanakan Program CSR TVET @ Air Banun: Pendawaian Selamat dan Kesedaran Keselamatan Elektrik Komuniti di Perkampungan Orang Asli Air Banun, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Gerik, Perak baru-baru ini.

Seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada staf dan pelajar PSP telah terlibat dalam menjayakan program ini. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) PSP dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan TVET dengan komuniti luar bandar, khususnya masyarakat Orang Asli.

Program berkenaan memberi tumpuan kepada dua aspek utama iaitu pendawaian elektrik yang selamat serta kesedaran keselamatan elektrik dalam kalangan komuniti setempat. Aktiviti ini bukan sekadar latihan praktikal kepada pelajar, malah menjadi platform penting dalam menyemai kesedaran mengenai kepentingan penjagaan keselamatan elektrik di kediaman masing-masing.

Selain memberi manfaat teknikal, pelaksanaan program ini turut membuka ruang kepada pelajar PSP untuk mengaplikasikan ilmu TVET secara langsung di lapangan sebenar, di samping memupuk nilai-nilai murni seperti kerjasama, keprihatinan, empati dan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

Suasana sepanjang program berlangsung amat meriah dengan kehadiran penduduk kampung yang memberikan kerjasama penuh. Aktiviti gotong-royong dan sesi perkongsian ilmu turut menyerlahkan semangat perpaduan serta keakraban antara warga PSP dan komuniti Orang Asli Air Banun.

Menurut Pengarah PSP, Tuan Haji Mohamad Ruzi bin Hamzah, penganjuran program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran keselamatan elektrik dalam kalangan masyarakat luar bandar, di samping memperkukuh peranan institusi TVET dalam memberi sumbangan bermakna kepada komuniti.

“Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk, malah menjadi medan pembelajaran sebenar kepada pelajar untuk menghayati nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial selaras dengan prinsip pendidikan TVET yang holistik,” ujar beliau.

Semoga inisiatif sebegini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa akan datang demi kesejahteraan masyarakat serta pembangunan insan berkemahiran tinggi.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti