Shah Alam, 15 Julai 2024 – Seramai 23 orang pelajar serta tujuh orang pensyarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) berlepas ke China bagi menyertai Program Malaysia China Youth TVET Training (MCYTT).
Program latihan selama 12 hari bermula 16 hingga 26 Julai 2024 di Jiangxi Vocational Technical College Trade and Industri itu bertujuan meningkatkan kemahiran dan pengalaman penggunaan teknologi di institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di China khususnya dalam bidang Internet of Things (IOT) Application Technology di samping memberi pendedahan pengalaman mobiliti antarabangsa kepada para peserta.
“Kami amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk turut sama menyertai program ini dan semua peserta sangat teruja serta berhasrat ingin menimba sebanyak mungkin ilmu dan teknologi yang diaplikasikan di China.”
“Saya berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dalam pelbagai bidang TVET lain yang berkaitan bagi meningkatkan kemahiran dan kompetensi pelajar serta pensyarah,” ujar Pengarah PSA Zainah Rujihan semasa menghadiri sesi pelepasan para peserta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur awal pagi tadi.
Turut hadir Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Ts. Mohd Firdauz Mhd Radzi, Pegawai Perhubungan Antarabangsa Mohd Khalid Ustati, Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik Ts. Norazlina Jaafar, Setiausaha Agung merangkap Ketua Projek Belia Mahir Mohammad Rizan Hassan serta wakil Tang Chinese Education and Technology Malaysia Sdn. Bhd. Radin Adnan Radin Meli.
Delegasi PSA selamat tiba di China dan disambut oleh Jiangxi Vocational Technical College Trade and Industri.
Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata China menawarkan lebih 5000 peluang latihan dalam bidang TVET di republik itu.
Ia merupakan hasil perjanjian persefahaman yang dimeterai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Belia Mahir dan Tang (M) International Education Group bersama Beifang Automotive Education Group (Beifang) serta Tang International Education Group.