Jiangxi China, 26 Julai 2024 – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) memperluas kerjasama strategik dengan China melalui kolaborasi bersama Jiangxi Vocational and Technical College of Industry and Trade (JVTCIT), China.
Majlis menandatangani Letter of Intent (LOI) di antara PSA dan JVTCIT itu disempurnakan oleh Pengarah PSA Zainah Rujihan dan Presiden JVTCIT Wan Xiaobo yang juga Setiausaha Parti pemerintah republik itu yang diadakan di kolej tersebut semalam.
Menurut Zainah, kerjasama itu bertujuan untuk memajukan program pendidikan dan penyelidikan khususnya dalam bidang Internet of Things (IOT) yang ketika ini sedang pesat berkembang di seluruh dunia.
“Melalui kerjasama ini, kita berharap dapat meningkatkan pembangunan akademik dan profesional pelajar dan pensyarah di kedua-dua institusi terutamanya dalam bidang teknologi.
“Kami juga merancang untuk mengadakan pelbagai program usaha sama antara kedua-dua institusi seperti pertukaran pendidikan, projek penyelidikan serta latihan upskilling dan reskilling.”
Turut hadir pada majlis berkenaan Timbalan Presiden JVTCIT Song Xiaobing, Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik PSA Ts. Norazlina Jaafar serta Penyelaras Perhubungan Antarabangsa Nur Suriya Mohamad.
Terdahulu seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada 23 orang pelajar dan 7 orang pensyarah PSA mengikuti Program Malaysia China Youth TVET Training (MCYTT) dalam bidang IOT Application Technology di JVTCIT yang berlangsung selama 12 hari bermula 15 hingga 26 Julai 2024.