
14 Mac 2025, Shah Alam – “Tradisi keilmuan Islam menunjukkan bahawa ilmuwan terkemuka dahulu bukan sahaja pakar dalam bidang mereka, tetapi juga hafiz Al-Quran. Mereka mempunyai daya ingatan yang kuat, dan ini memberi kelebihan kepada mereka dalam menguasai pelbagai ilmu,” ujar Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud dalam Majlis Iftar Mahabbah 2025 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kejayaan PSA dalam memperkenalkan program Techno Huffaz, yang menggabungkan kepakaran teknikal dan keilmuan Islam, satu pendekatan inovatif dalam sistem pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Diperkenalkan sejak 2017, Program Techno Huffaz memberi peluang kepada pelajar untuk menghafal al-Quran sambil menjalani latihan dalam pelbagai bidang teknikal seperti kejuruteraan, teknologi maklumat, dan automotif, di mana konsep ini bertepatan dengan tradisi keilmuwan Islam yang telah melahirkan cendekiawan hebat seperti Al-Khawarizmi dan Ibn Sina.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada PSA kerana telah memulakan program Techno Huffaz yang dijalankan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Ini satu inisiatif yang amat baik dan mempunyai prospek yang sangat luas,” tambah beliau lagi.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada PSA atas pengiktirafan sebagai Politeknik Berprestasi Tinggi bagi kategori Politeknik Premier, selain menerima Anugerah Projek Pembangunan RMK-12 Terbaik serta pengiktirafan dalam program Finishing School Program Participation Award bagi Upskilling Grant for Medical Devices Industries.
Seperti kelaziman majlis Iftar Mahabbah yang lain, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud turut menyerahkan sumbangan Bantuan Kasih Ramadan daripada Yayasan Perkasa Siswa kepada 20 orang pelajar terpilih, selain turut menyerahkan Sumbangan Kasih Ramadan Pusat Islam PSA kepada 20 Rakan Pusat Islam (RAPI). Di samping itu, beliau turut menyerahkan sumbangan peribadi berjumlah RM5000 kepada Pusat Islam PSA bagi menyemarakkan lagi aktiviti pada bulan ramadan ini.
PSA menjadi lokasi keempat Majlis Iftar Mahabbah YB Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dengan lebih 1,400 orang kakitangan serta pelajar termasuk bukan Islam serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menyertai program semalam, sekali gus mengungkapkan semangat kebersamaan dan nilai keprihatinan dalam kalangan warga PSA.
Program Techno Huffaz PSA dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh keseimbangan antara pendidikan teknikal dan pembangunan rohani, selari dengan matlamat Malaysia untuk melahirkan modal insan yang holistik dan berkualiti tinggi.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Sapian; Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Haji Kamaludin Daud; Pengarah PSA, Zainah Rujihan serta para pengarah bahagian JPPKK dan pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.