Politeknik Ungku Omar catat 1,765 pelajar baharu POLYCC tertinggi

POLITEKNIK UNGKU OMAR
12 August 2024
SUARA TV

Oleh: Zihan Zari

IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) berjaya mencatat pencapaian yang membanggakan apabila pendaftaran pelajar baharunya bagi ambilan sesi 1 2024/2025, melebihi sasaran yang ditetapkan.

PUO dalam kenyataannya memaklumkan, 1,765 pelajar baharu bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) PUO tertinggi di antara semua politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) di seluruh Malaysia.

Pengarahnya, Dr. Shamsuri Abdullah berkata, pencapaian ini mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap persekitaran pembelajaran kondusif dan kualiti Pendidikan serta TVET yang ditawarkan oleh PUO.

“Di samping itu, komitmen institusi ini dalam menyokong agenda pendidikan negara dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Peningkatan jumlah ini juga dibantu oleh usaha mempromosi keterlihatan institusi secara berterusan melalui pelbagai platform sama ada secara bersemuka, media konvensional atau secara digital,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah PUO (Akademik), Norman Zamri telah menyempurnakan majlis penutup minggu suai kenal pelajar baharu di Dewan Jubli Perak, PUO pada Khamis.

Beliau berkata, kepentingan integrasi dan semangat kerjasama di kalangan pelajar dalam memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam suasana pembelajaran baharu di PUO.

“Pelajar disarankan memanfaatkan ruang dan peluang pembelajaran di sini bagi meneroka potensi dan kebolehan diri serta mempertingkat kemajuan kendiri agar dapat menyumbang semula kepada masyarakat dan negara kelak,” katanya lagi.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam PUO, Anita Wafa berkata, seramai 1,629 pelajar mengikuti 17 program diploma dan 123 pelajar program Asasi Teknologi Kejuruteraan, manakala 13 pelajar mengikuti program Sijil Kemahiran Pembinaan yang dikhususkan untuk pelajar kelainan upaya.

“Para pelajar diharap dapat menggunakan peluang ini sebaiknya, bukan sahaja untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam aspek akademik bahkan membentuk sahsiah diri terpuji melalui pengalaman pembelajaran di sini,” katanya. – SUARA.TV

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti