Politeknik Ungku Omar catat pendaftaran pelajar baharu POLYCC Sesi 1 Tahun 2024/2025 tertinggi di Malaysia

POLITEKNIK UNGKU OMAR
02 August 2024
Akademik

Ipoh, 1 Ogos 2024 – Politeknik Ungku Omar (PUO) telah berjaya merekodkan pencapaian ambilan pelajar yang membanggakan apabila pendaftaran pelajar baharu bagi Sesi 1 Tahun 2024/2025 telah melebihi sasaran yang ditetapkan. Dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1,765 pelajar, PUO mencatatkan jumlah pelajar TVET tertinggi di antara semua politeknik dan kolej komuniti di seluruh Malaysia bagi ambilan sesi 1 Tahun 2024/2025.

Daripada jumlah tersebut, 1,629 merupakan pelajar daripada 17 program diploma, 123 pelajar Program Asasi Teknologi Kejuruteraan, dan 13 orang pelajar Program Sijil Kemahiran Pembinaan yang dikhususkan untuk pelajar kelainan upaya.

Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan kepercayaan masyarakat terhadap kualiti pendidikan yang ditawarkan oleh PUO, tetapi juga komitmen institusi ini dalam menyokong agenda pendidikan negara dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Peningkatan jumlah ini juga dibantu oleh usaha mempromosi keterlihatan institusi secara berterusan melalui pelbagai platform sama ada secara bersemuka, media konvensional atau secara digital. Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah turut menyatakan bahawa pencapaian ini mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap persekitaran pembelajaran kondusif dan kualiti Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan PUO.

Majlis penutup Minggu Suai Kenal pelajar baharu telah diadakan hari ini di Dewan Jubli Perak, PUO dan dihadiri oleh Encik Norman bin Zamri, Timbalan Pengarah (Akademik) Politeknik Ungku Omar, yang mewakili Pengarah. Beliau turut menekankan kepentingan integrasi dan semangat kerjasama di kalangan pelajar baharu dalam memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam suasana pembelajaran baharu di PUO. Para pelajar juga disaran memanfaatkan ruang dan peluang pembelajaran di PUO bagi meneroka potensi dan kebolehan diri serta mempertingkat kemajuan kendiri agar dapat menyumbang semula kepada masyarakat dan negara kelak.

Politeknik Ungku Omar mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar baharu dan berharap agar para pelajar menggunakan peluang melanjutkan pengajian bukan sahaja untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam aspek akademik bahkan membentuk sahsiah diri terpuji melalui pengalaman pembelajaran di politeknik.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti