POLYCC Design Festival 2023 serlah bakat dan kreativiti pelajar

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
13 July 2023
Aktiviti Pelajar

13 Julai 2023, Kuantan – Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) dengan kerjasama Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah menganjurkan ‘POLYCC Design Festival 2023’ bermula pada 10 sehingga 12 Julai 2023.

Kemuncak penganjuran program ini adalah Majlis Perasmian Penutup ‘POLYCC Design Festival 2023’ yang berlangsung semalam bertempat di Dewan Sri Mahkota, POLISAS. Majlis telah disempurnakan oleh Encik Mohd Noor Shahudin, Pengarah Kanan (Akademik) yang mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

Beliau berkata, ‘Design Festival’ peringkat kebangsaan ini sebenarnya telah beberapa kali diadakan di beberapa buah politeknik seluruh Malaysia antaranya Politeknik Ungku Omar (PUO) dan POLISAS pada tahun 2013, Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (POLIMAS), 2014, Politeknik Merlimau Melaka (PMM), 2015, Politeknik Port Dickson (PPD), 2016, Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), 2017 dan PUO sekali lagi pada tahun 2019.

“Pada tahun ini, POLISAS kembali menjadi tuan rumah dengan penyertaan politeknik dan kolej komuniti seluruh Malaysia yang menawarkan bidang pengajian seni bina.Penganjuran program sebegini menjanjikan peluang yang luas dan berharga kepada pelajar untuk bersaing dan mempamerkan kreativiti dan inovasi mereka”, katanya.

Tambah beliau, program ini juga dimeriahkan dengan pelbagai model dan taklimat pendidikan, yang pastinya berupaya merangsang interaksi dan memberi inspirasi kepada pelajar yang mengambil bahagian.

“MARA-K – Bangkit Kembali” diangkat sebagai tema ‘POLYCC Design Festival’ kali ini dalam mencapai matlamatnya iaitu untuk melahirkan pelajar senibina yang fleksibel dan bertindak di luar kotak.               

“Bangkit Kembali” merupakan manifestasi kepada kebangkitan semula sejak Pandemik COVID-19 melanda negara pada 2020 dan membataskan beberapa perancangan dan pelaksanaan program pada ketika itu. Tema ini juga memfokuskan kepada membina pemikiran kritis dan kemahiran pelajar di samping memperkasakan suara dan bakat pelajar.

Sebanyak 12 acara dipertandingkan antaranya REKA, TAKAR, PUTAR, MEKAR, LAKAR, PAPAR, WARA, PACAK, PASAK, PANJI, RAGA DAN SORAK. 

Penganjuran pada kali ini melibatkan 212 penyertaan dari enam politeknik dan enam Kolej Komuniti seluruh Malaysia iaitu Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) , Politeknik Ungku Omar (PUO), Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (POLIMAS), Politeknik Port Dickson (PPD), Politeknik Merlimau, Melaka (PMM), Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Kolej Komuniti Kuantan, Kolej Komuniti Cawangan Hulu Terengganu, Kolej Komuniti Jempol, Kolej Komuniti Tanjung Karang, Kolej Komuniti Tapah dan Kolej Komuniti Kuching.

Hadir sama pada majlis ini ialah Puan Hajah Norehan Silek, Pengarah POLISAS dan Prof. Adj. Ar. Ardianta Aziz, Naib Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) yang juga merupakan Profesor Adjung bagi program senibina di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).


BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti