Program Dai Muda TVET perkasa kemahiran soft skills pelajar Maahad Tahfiz

POLITEKNIK UNGKU OMAR
14 August 2024
Komuniti

Ipoh, 13 Ogos 2024 – Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ungku Omar (PUO), dengan kerjasama Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Zikri Wa-Zuhdi, telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat bertemakan “Dai Muda TVET.” Program ini bertujuan untuk memperkasa peserta dengan kemahiran dan keyakinan diri melalui pelbagai aktiviti interaktif dan bermanfaat.

Program ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk “Fun with English,” yang memperkenalkan Bahasa Inggeris melalui permainan interaktif dan sesi perbualan santai, sekaligus memupuk keyakinan peserta dalam penggunaan bahasa tersebut dalam kehidupan seharian. Aktiviti Panduan Solat Berjemaah menyediakan bimbingan kepada peserta untuk memimpin solat berjemaah dengan tepat, memperkukuh pemahaman dan keyakinan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai imam. Sesi “Canva: Learn Easy” pula memperkenalkan aplikasi Canva, membolehkan peserta mencipta poster dan bahan dakwah secara kreatif, membuka peluang untuk menggunakan teknologi dalam penyebaran mesej dakwah secara efektif.

Menurut urus setia program, Dr Ahmad Fkrudin Mohamed Yusoff program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta dari segi kemahiran teknikal tetapi juga membantu dalam membentuk sahsiah diri yang lebih mantap. “Kami percaya bahawa peserta akan membawa pulang pengalaman berharga yang dapat membantu mereka dalam kehidupan seharian, termasuk aspek kepimpinan dan kerjasama dalam komuniti,” katanya. Beliau juga menekankan bahawa program seperti ini adalah platform penting untuk membina jati diri generasi muda dan menggalakkan mereka untuk terlibat secara aktif dalam pembangunan masyarakat.

Impak positif daripada program ini termasuk peningkatan keyakinan peserta dalam berbahasa Inggeris, kesediaan untuk memimpin solat berjemaah, dan kebolehan mencipta bahan dakwah yang menarik melalui penggunaan Canva. Program ini bukan sahaja memupuk kemahiran teknikal tetapi juga menyemai nilai keagamaan dan kepimpinan dalam kalangan peserta.

Inisiatif ini diharapkan dapat memperkukuhkan generasi muda dalam usaha membina Malaysia Madani yang maju dan harmoni.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti