Arau, 8 November 2024 – Program Design Duel : Senibina Showdown Edisi Bridge Building yang dianjurkan oleh Program Sijil Teknologi Senibina (STS) di Kolej Komuniti Arau baru-baru ini telah menarik minat ramai dengan fokusnya terhadap pembinaan jambatan mini. Menggunakan bahan asas seperti lidi sate dan pistol perekat panas (glue gun), pertandingan ini dirangka untuk menguji keupayaan serta kemahiran pelajar dalam menghasilkan reka bentuk jambatan yang bukan sahaja kukuh tetapi juga menarik dari segi estetik. Pertandingan ini bukan sahaja menjadi platform bagi pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan teori mereka dalam suasana praktikal, malah turut mencabar kreativiti mereka dalam mengolah konsep seni bina yang inovatif.
Program ini bertujuan memupuk kemahiran reka bentuk dan pembinaan dalam kalangan pelajar melalui pengalaman pembelajaran secara langsung. Setiap kumpulan perlu menghasilkan jambatan yang mampu menahan beban dan berfungsi dengan baik, sekaligus mengasah kecekapan teknikal yang telah dipelajari di dalam kelas. Dalam pada itu, para pelajar berpeluang untuk mempersembahkan idea-idea kreatif mereka dengan menghasilkan reka bentuk yang menarik dan unik, menjadikan program ini lebih daripada sekadar pertandingan, tetapi juga sebagai medium ekspresi seni bina yang kreatif dan inovatif.
Selain daripada menguji kemahiran teknikal, pertandingan ini turut memberi impak positif dari segi pembangunan kemahiran berpasukan dan semangat kerjasama. Melalui kerja secara berkumpulan, pelajar dapat meningkatkan kemahiran komunikasi dan penyelesaian masalah secara bersama, yang mana ia merupakan elemen penting dalam bidang seni bina dan pembinaan. Menurut Ketua Program Sijil Teknologi Senibina, Nur Syazalina Hanafi, elemen persaingan sihat yang diterapkan dalam program ini juga meningkatkan motivasi pelajar untuk menunjukkan prestasi terbaik mereka, sekali gus membentuk daya saing sihat dalam kalangan mereka.
“Pertandingan ini bukan sahaja menyuntik nilai-nilai kreatif dan teknikal, tetapi turut membantu melahirkan generasi pelajar yang lebih mahir, kreatif, dan berdaya saing dalam industri senibina dan teknologi,” katanya.
Program Design Duel : Senibina Showdown Edisi Bridge Building ini diharapkan dapat memberikan pengalaman bermakna yang akan dikenang oleh pelajar dan dijadikan inspirasi untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang seni bina pada masa hadapan. Ia juga dilihat sebagai peluang buat Kolej Komuniti Arau untuk meningkatkan reputasinya sebagai sebuah institusi yang mendukung inovasi serta kemahiran praktikal di kalangan pelajar.