KAJANG, 29 Ogos 2024 – Selaras dengan dasar kerajaan negeri Selangor dalam melaksanakan program-program bersifat penjagaan alam sekitar dan kepenggunaan, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan kerjasama Kolej Komuniti Hulu Langat (KKHL) telah menganjurkan Program Explorace Pendidikan Alam Sekitar untuk menggalakkan pelajar KKHL terlibat secara aktif dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Seramai 78 orang pelajar KKHL menyertai Explorace Pendidikan Alam Sekitar. Terdapat sembilan check point bagi aktiviti ini di mana ia bermula dari KKHL dan tamat di Medan Belia MPKj, Stadium Kajang. Acara pelepasan bagi peserta disempurnakan oleh Ahli MPKj Zon 13 Balamurali Govindaraju bersama pengarah KKHL Roszita Shamsuddin.
Majlis Perasmian Penutupan diadakan di Medan Belia MPKj, Stadium Kajang dan dirasmikan oleh Yang DiPertua MPKj Nazli Md Taib. Hadir sama Timbalan Yang DiPertua MPKj Mohd Fareez Mohd Ariss @ Mohd Hatta dan Pengarah Jabatan Pelesenan dan Penjaja MPKj Mohammad Izuddin Raml.
Turut diadakan Pertandingan Menjahit Beg Mesra Alam Sekitar yang bertujuan memberi pendedahan kepada para peserta terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar dan terus komited dalam memulihara dan memelihara alam sekitar.
Program Explorace Pendidikan Alam Sekitar ini diharap menjadi titik tolak dalam usaha menyemai sifat menghargai ekosistem dan nilai cinta akan alam sekitar dalam kalangan masyarakat khususnya warga KKHL.