18 Februari 2024, Tanjong Kling – Seramai 30 orang sukaralewan terdiri daripada kakitangan dan Pasukan Briged Sukarelawan Kolej Komuniti (BriSK) Kolej Komuniti Tangga Batu (KKTB) telah menjayakan program Program Free Market 2.0 yang berlangsung di Dewan Terbuka Masjid Al-Aminin, Kampung Batang Tiga, Melaka.
Dalam program anjuran Kumpulan Sharity bersama Masjid Al-Aminin ini, para peserta telah didedahkan dengan bidang kesukarelawan yang telah mewujudkan semangat muhibah sekaligus ianya menjadi medium penyampaian informasi kepada komuniti berkaitan Sijil Pengembaraan Pelancongan yang ditawarkan di Kolej Komuniti Tangga Batu.
Sharini Zakaria, Pengarah KKTB berkata mereka bukan sahaja berperanan melahirkan graduan dalam pasaran kerja, malah para pelajar dan warganya turut diberikan peluang untuk terlibat dengan aktiviti-aktiviti sukarelawan sebagai usaha menjadikan mereka graduan holistik dan mempunyai nilai tambah dalam kemahiran, pengetahuan dan kepemimpinan.
“Dalam program ini, peserta dibawa ke lapangan sebenar untuk mengaplikasikan input yang telah dipelajari di dalam bilik kuliah dengan menguruskan acara dan berinteraksi dengan komuniti bagi memastikan program berjalan dengan lancar,” jelas Sharini.
Sehubungan dengan itu, keterlibatan pelajar dan kakitangan KKTB dalam Program Market Free 2.0 diharapkan dapat memperkasakan peranan mereka dalam usaha untuk memperluaskan jaringan sosial bersama komuniti setempat dengan sentiasa turun padang serta menyumbang bakti sebagai sukarelawan.
Sementara itu, Nurysyafiqah Athirah Md Saparin, sukarelawan KKTB ketika ditemui berkata, beliau amat bersyukur dan teruja kerana diberi peluang menyertai program ini untuk mendekatkan kolej komuniti bersama komuniti dan melahirkan pelajar yang prihatin dan berjiwa kesukeralawanan.
“Saya berasa amat gembira kerana dapat membantu golongan yang tidak pernah merasa membeli pakaian cantik dan kemewahan. Aktiviti kesukarelawan ini juga telah mendidik saya agar lebih bersyukur dengan apa yang saya ada,” tambah Nurysyafiqah.
Program Market Free 2.0 yang telah dihadiri 400 orang pengunjung ini menyediakan pelbagai aktiviti komuniti kepada para peserta dan pengunjung seperti menganyam ketupat, dekorasi kek, dan mewarna serta perkhidmatan reruai pameran dari agensi PDRM, Jabatan Guaman dan promosi kursus sepenuh masa dan kursus jangka pendek yang ditawarkan di KKTB.