
Program Gerak Rahmah 2025 : Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Negeri Johor telah diadakan bertempat di Perkarangan Masjid Al-Hadi, Kg. Makam Kota Tinggi. Program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Johor (JPNIN) ini bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan, kerjasama, dan sifat prihatin dalam kalangan pelajar, agensi terlibat dan komuniti setempat.
Seramai 9 orang Sekretariat Rukun Negara (SRN) dan 2 orang pegawai pengiring dari Kolej Komuniti Kota Tinggi telah terlibat secara langsung dalam program ini. Terdapat pelbagai pengisian menarik antaranya aktiviti gotong-royong memasak Bubur Lambuk Perpaduan, Kuiz Terbuka dari Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), pengagihan bantuan dan Majlis Penyerahan (RT Care) kepada asnaf, tazkirah ramadhan, majlis berbuka puasa & solat terawih berjemaah.
Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh YB Tuan Raven Kumar A/L Krishnasamy, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor. Turut hadir bersama adalah Pn.Nurul Akmalina binti Shamsuddin, Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Negeri Johor dan YB Cik Norlizah binti Noh, ADUN Johor Lama.
Pelajar-pelajar turut berpeluang untuk berbakti kepada masyarakat dengan mengagihkan bubur lambuk secara percuma kepada golongan yang memerlukan dan komuniti setempat. Secara tidak langsung, ianya telah dapat mengeratkan hubungan antara pelajar dan komuniti serta memberi pengalaman berharga dalam kerja-kerja sukarelawan.