
Bukit Ayer, 28 Oktober 2025 – Program Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Negeri Perlis 2025 yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perlis dengan kerjasama Kolej Komuniti Arau (KKA) telah berlangsung dengan jayanya pada hari ini. Program ini diadakan di Dewan Bukit Ayer, Perlis bertujuan untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar serta menggalakkan amalan gaya hidup hijau di kalangan pelajar dan komuniti.
Pelbagai aktiviti menarik telah disusun untuk menjadikan program ini lebih interaktif dan memberi impak yang mendalam kepada peserta. Antaranya ialah Explorace Alam Sekitar, Pembuatan Sabun Mesra Alam, Simulasi Keusahawanan dan Persembahan Sketsa Alam Sekitar. Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Wan Badariah binti Wan Saad, Exco Alam Sekitar Negeri Perlis yang turut memberi ucapan penuh inspirasi tentang pentingnya tanggungjawab setiap individu dalam menjaga alam sekitar. Beliau juga menekankan kepentingan pendidikan dan kesedaran alam sekitar sebagai usaha berterusan untuk kesejahteraan generasi akan datang.
Program ini telah memberi impak yang sangat positif seperti meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang penjagaan alam sekitar dalam kalangan pelajar dan komuniti, memupuk nilai tanggungjawab terhadap kelestarian alam melalui aktiviti interaktif yang menyeronokkan dan mengukuhkan jaringan kerjasama antara Kolej Komuniti Arau dan JAS Perlis.
Sebagai sebahagian daripada komitmen sosial, sumbangan sabun dobi dan sabun cuci pinggan yang dihasilkan oleh Pensyarah KKA telah disampaikan kepada tiga buah rumah anak yatim di Negeri Perlis. Sumbangan ini adalah sebahagian daripada aktiviti Kursus SUE30132 Khidmat Komuniti yang diambil oleh pelajar KKP 3 Kolej Komuniti Arau. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peserta, urus setia serta rakan kerjasama yang telah memberikan komitmen penuh. Bersama-sama kita semarakkan semangat “Alam Sekitar Tanggungjawab Kita!”












