
KUCHING – Program liga sukan komuniti bagi sukan ping pong peringkat bahagian Kuching anjuran Jabatan Belia dan Sukan Sarawak telah berlangsung dengan meriah bertempat di Extreme Table Tennis Professional Centre di sini, baru-baru ini.
Menurut Pegawai Belia dan Sukan, Kolej Komuniti Kuching, Abitt Nunong, 56, bahawa pertandingan ini menghimpunkan lapan pasukan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sukan dan institusi tempatan, sekali gus menjadi medan mempererat semangat kesukanan dan perpaduan.
“Kolej Komuniti Kuching turut mengambil bahagian dengan menghantar lapan peserta terdiri daripada pensyarah dan kakitangan.
“Pasukan ini telah berjaya meraih tempat ketiga pada pusingan pertama peringkat kumpulan dengan menunjukkan prestasi membanggakan serta semangat juang yang tinggi,” kata Abitt yang mengetuai pasukan Kolej Komuniti Kuching.
“Penyertaan tersebut bertujuan memberi pendedahan awal kepada warga kolej dalam arena sukan komuniti, mencungkil bakat baharu dalam kalangan kakitangan serta mengukuhkan hubungan dengan komuniti luar melalui aktiviti sihat dan berimpak tinggi dalam memupuk gaya hidup aktif serta membina keyakinan diri peserta.
“Justeru dengan itu penglibatan dalam program seperti ini bukan sahaja menyokong pembangunan sukan sosial, malah menjadi platform untuk menjalin hubungan erat antara institusi dan masyarakat setempat,” ujar Abitt.
“Penganjuran liga sukan komuniti ini jelas membuktikan bahawa sukan mampu menjadi jambatan penyatuan pelbagai lapisan masyarakat.
“Kejayaan pasukan kolej komuniti kuching diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai warga institusi untuk terlibat aktif dalam sukan, sekali gus memperkukuh usaha memupuk perpaduan melalui aktiviti berfaedah,” tambah Abitt lagi.
Terdahulu antara pegawai yang menyertai pertandingan ini ialah Pegawai Pengurus Fasiliti, Mohd. Faizal Affendy Zakaria, Pegawai Hubungan Industri dan Alumni, Ts. Esuryati Kamarudin dan Pensyarah Ledia Angul.