
Kuala Pilah, 22 Januari 2026 – Program Peningkatan Ekonomi Muallaf Daerah Kuala Pilah 2026 merupakan satu inisiatif komprehensif yang merangkumi keseluruhan rantaian penghasilan produk kuih raya, bermula daripada pemilihan resipi, penggunaan bahan berkualiti, proses pembuatan, kawalan kualiti sehinggalah kepada pembungkusan dan persediaan pemasaran.
Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dengan kerjasama strategik Kolej Komuniti Kuala Pilah (KKKP) ini dilaksanakan bersama penglibatan aktif golongan muallaf sebagai peserta utama projek keusahawanan.
Sebagai persediaan sebelum program utama yang dijadualkan bermula pada Februari ini, sebuah Sesi Ujirasa Produk Kuih Raya telah diadakan bagi menilai dan memilih produk terbaik yang menggunakan bahan berkualiti tinggi untuk dipasarkan kepada pengguna.
Sesi penilaian tersebut telah dihadiri oleh Sahibus Samahah Tn. Mohd Asri bin Abdullah, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, serta Sahibul Fadhilah Tn. Mohd Raizalani bin Mohd Rais, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, di samping pegawai-pegawai JHEAINS Daerah Kuala Pilah.
Turut hadir ialah Pn. Megawati binti Muhamad, Pengarah Kolej Komuniti Kuala Pilah, Pn. Norzita Suzalin binti Mohd Ali, Pegawai Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) KKKP, serta wakil-wakil muallaf yang terlibat secara langsung dalam keseluruhan proses penghasilan produk.
Menurut penganjur, projek ini bukan sekadar latihan pembuatan kuih raya, sebaliknya merupakan model pembangunan usahawan muallaf secara praktikal, yang memberi pendedahan sebenar kepada aspek teknikal, pengurusan kualiti dan nilai pasaran, sekali gus bertujuan mewujudkan sumber pendapatan yang mampan

