
MUKAH, 11 Mac 2026 – Program #QuranHour peringkat Politeknik Mukah (PMU) telah berjaya dilaksanakan dengan penglibatan warga PMU yang terdiri daripada kakitangan staff dan pelajar. Program yang dianjurkan oleh Unit Pusat Sumber PMU ini berlangsung secara hibrid, iaitu secara bersemuka di Perpustakaan PMU serta dalam talian melalui platform Google Meet.
Mengangkat tema “Membentu Manusia Sebelum Membina Dunia”, program ini bertujuan untuk memupuk kecintaan terhadap Al-Quran serta menggalakkan warga PMU meluangkan masa mentadabbur ayat-ayat suci Al-Quran dalam kehidupan seharian.
Program dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah (1:1-7) diikuti Surah Al-Baqarah (2:1-5) sebelum diteruskan dengan bacaan Surah Al-Muzzammil (73:1-20). Bacaan Surah Al-Muzzammil telah dipimpin oleh Muhammad Qusyairi Jumat, pelajar daripada Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK) yang juga merupakan bekas pelajar tahfiz. Bacaan yang penuh penghayatan itu telah mewujudkan suasana tenang dan khusyuk dalam kalangan peserta yang mengikuti program sama ada secara fizikal mahupun dalam talian.
Program turut diserikan dengan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Mohd Norfaeezwan Buang, selaku Ketua Kursus Pendidikan Islam dan Moral di PMU. Dalam perkongsiannya, beliau menghuraikan sinopsis ringkas serta tadabbur Surah Al-Muzzammil, khususnya mengenai kepentingan mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui ibadah, kesabaran dalam menghadapi cabaran serta menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam membentuk keperibadian insan.
Menurut beliau, penghayatan terhadap mesej yang terkandung dalam Surah Al-Muzzammil mampu membentuk peribadi individu yang lebih berdisiplin, berakhlak mulia serta memiliki kekuatan spiritual dalam menjalani kehidupan.
Seorang pelajar yang menyertai program tersebut turut berkongsi bahawa program seperti ini memberi peluang kepada warga pelajar untuk memahami Al-Quran dengan lebih mendalam.
“Program #QuranHour ini sangat memberi manfaat kepada kami sebagai pelajar. Melalui bacaan dan sesi tadabbur yang dikongsikan, kami bukan sahaja membaca ayat-ayat Al-Quran sahaja malah memahami intipati dan mesej di sebaliknya serta bagaimana ia boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.” katanya.
Secara keseluruhannya, penganjuran program ini berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan kesedaran warga PMU terhadap kepentingan membaca, memahami dan mengamalkan ajaran Al-Quran. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan masyarakat kampus yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah seimbang dari aspek rohani dan sahsiah diri pelajar. – PMU

