1 Februari 2024, Arau – Program Rekreasi dan Kecergasan “Aku, Suami dan Bapa Mithali” telah diadakan di Taman Rekreasi Bukit Jernih, Perlis dengan melibatkan seramai 40 orang kakitangan lelaki Kolej Komuniti Arau.
Program selama sehari ini bertujuan memperkasakan kakitangan lelaki sebagai seorang pekerja, suami, bapa, ketua keluarga dan ahli masyarakat.
Program anjuran Unit Sukan dan Kelab Kakitangan Kolej Komuniti Arau ini, memberi fokus kepada kecergasan melalui pengisian aktiviti rekreasi yang disusun iaitu Senaman Lelaki Unggul Perkasa, Demo Masakan Rimba Kayangan, Perkongsian Ilmu “Aku, Suami & Bapa Mithali” dan Gotong Royong Bapa-bapa Gagah Perkasa.
Tema “Aku, Suami dan Bapa Mithali” menjadi pilihan memandangkan peranan dan tanggungjawab yang dipikul oleh setiap lelaki.
Perkongsian ilmu melalui slot “Aku, Suami dan Bapa Mithali” menekankan tentang betapa pentingnya ilmu dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang lelaki.
Tanggungjawab ini adalah amanah besar yang akan dipersoalkan dan program ini merupakan salah satu platform mempertingkatkan ilmu kekeluargaan.
Menurut Pengarah Kolej Komuniti Arau, Zainudin Yahya melalui ucapan penutup berharap aktiviti yang dilaksanakan dapat meningkatkan kemahiran, pengetahuan serta penghayatan ilmu kekeluargaan kepada semua peserta. Selain itu, semangat kerja berpasukan dapat dimantapkan bak kata pepatah “the main ingredient of stardom is the rest of the team”.
Program ini dirangka sebahagian daripada keperluan aktiviti yang diutarakan melalui dapatan hasil Soal Selidik Kepuasan Kerja Staf.
Komitmen yang diberikan oleh semua peserta amat cemerlang dan aktiviti sebegini akan diperbanyakkan dan pengisian program dimantapkan bagi memenuhi keperluan staf.