Sabak Bernam, 11 Jun 2024 – Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) dengan usaha sama Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB) mengadakan Program Self-Discovery Workshop melibatkan 40 pelajar tingkatan lima daripada sekolah menengah sekitar Daerah Sabak Bernam.
Program ilmiah dan motivasi berkaitan kerjaya hala tuju dalam TVET itu bertujuan untuk membantu para peserta yang terdiri daripada para pelajar SMK Munshi Abdullah, Sg. Ayer Tawar dan SMK Bagan Terap, Sungai Besar membina keyakinan dan jati diri selain memberi pendedahan mengenai pendidikan aliran TVET.
“Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) sedia membantu dengan memberi peluang kepada remaja untuk mendapat kemahiran dalam membentuk kerjaya diri dan masa hadapan,” ujar Pengurus YRMS, Muhammad Ridhaillah Ab Malek ketika sesi pengenalan mengenai kesediaan yayasan ini kepada para pelajar.
Selain itu, Sesi Modul Pembangunan Diri memberi peluang kepada para pelajar menilai kecenderungan diri dalam kerjaya melalui Ujian Kerjaya dan Personaliti dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada Pegawai Psikologi KKSB, Maimunah Mhd Salleh.
Para pelajar turut didedahkan dengan Pendidikan TVET di KKSB yang merupakan institusi penuh milik kerajaan di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi.
Pelajar-pelajar dibawa ke makmal fasiliti KKSB untuk aktiviti kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dan berpeluang mengikuti Kursus Virtual Reality (VR) yang dikelolai oleh pensyarah-pensyarah daripada Unit Diploma Teknologi Senibina dan Kursus Seni Kreatif berbentuk jahitan sulaman komputer yang dibimbing oleh pensyarah-pensyarah Sijil Fesyen dan Pakaian KKSB.
Program yang dijalankan selama satu hari itu dilihat dapat membantu para pelajar dalam meningkatkan kefahaman mereka mengenai Pendidikan TVET seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Selain YRMS sebagai penganjur utama, Program Self-Discovery Workshop ini turut mendapat kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam yang merupakan rakan kerjasama KKSB.