Program Sentuhan Qaseh bantu anak-anak yatim Al- Hijrah

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
12 December 2023
Aktiviti Pelajar

Kemaman, 11 November 2023 – Seramai 37 orang pelajar Diploma Sains Kesetiausahaan Sesi 1 2023/2024 (DSK5B), Jabatan Perdagangan, Politeknik Haji Sultan Ahmad Shah (POLISAS) menyantuni anak-anak yatim melalui Program Sentuhan Qaseh anjuran kelas DSK5B dengan kerjasama Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Al-Hijrah,Chukai,Kemaman, Terengganu.

 

Tujuan utama program ini dianjurkan adalah bagi memenuhi Kursus DPK50183 (Event Organization) melalui pengumpulan dana bagi membantu meringankan beban kos pengoperasian rumah kebajikan ini di samping  mengeratkan ukhwah dan silaturahim antara pensyarah dan pelajar terlibat dengan anak-anak yatim ini, sekaligus dapat mendidik para pelajar berkaitan sikap prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik dalam usaha melahirkan para graduan yang holistik.

 

Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh para pelajar dalam mengumpulkan dana bagi menjayakan program ini seperti penganjuran acara zumba dan aktiviti keusahawanan melalui penjualan produk Nachos Baldi. Hasil daripada bayaran penyertaan aktiviti zumba dan aktiviti keusahawanan ini telah disumbangkan sepenuhnya kepada rumah kebajikan ini.

 

Para pelajar juga turut mengambil inisiatif mendapatkan penajaan daripada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih, pelbagai pihak dalam kalangan warga POLISAS, syarikat perniagaan dan pertubuhan NGO seperti FFM Marketing Sdn.Bhd. serta Pertubuhan Kebajikan Fisabilillah Terengganu.

 

Hasil sokongan pelbagai pihak ini,  para pelajar telah berjaya mengumpulkan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan harian bernilai RM9,300.00. Sumbangan ini telah diserahkan kepada Pengerusi Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Al-Hijrah, Mohammad Rozaki Yusof dalam Majlis Penutup program yang berlangsung di Dewan Sivik Kerteh, Kemaman. Hadir sama adalah Ketua Jabatan Perdagangan, Akmaruljehan Samiun serta Pensyarah Jabatan Perdagangan yang juga merupakan penasihat program iaitu Nor Rizan Mohamad Idris dan Rosnaimah Mohamed Yunos.

 

Pelbagai aktiviti menarik telah dilaksanakan sebagai pengisian program Sentuhan Qaseh seperti Kursus Pembuatan Roti dengan kerjasama Kolej Komuniti Kemaman dengan penglibatan 42 orang peserta yang mana 30 daripadanya terdiri daripada anak-anak yatim Al-Hijrah. Kursus ini diadakan bagi memberikan gambaran sebenar kepada penghuni rumah kebajikan ini  mengenai proses pembuatan roti. Selain itu juga, Ahli Jawatankuasa pelajar turut berpeluang melaksanakan aktiviti bersukan dan mencanting batik.

 

Pelajar DSK5B, POLISAS, Ilman Azfar, 20, berkata program sebegini amat menyeronokkan kerana dapat beramah mesra bersama anak-anak yatim di samping berpeluang menyertai Kursus Pembuatan Roti di Kolej Komuniti Kemaman.

 

“Saya rasa program khidmat masyarakat sebegini sangat memberi impak yang positif kepada para penghuni rumah kebajikan ini sekaligus dapat meringankan beban yang dipikul oleh mereka”, kata Zuliana Zulkarnaen, 21, yang juga merupakan pelajar DSK5B, POLISAS.

 

Konsep Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini bersesuaian dengan slogan program  iaitu “Menghulur Tangan, Mengubah Nasib”. Semoga inisiatif kecil ini dapat melakar senyuman buat semua penghuni Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Al-Hijrah sekaligus melancarkan pengoperasian seharian.

 

 

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti