Faktor usia tidak menghalang seorang pelajar baharu Sesi I : 2024/2025 yang telah mendaftar pada 29 Julai 2024 yang lalu di Kolej Komuniti Sik. Nor Shuhaida binti Saleh yang berusia 40 tahun telah berdaftar untuk mengikuti program Sijil Teknologi Pemprosesan Makanan. Beliau berasal dari Kampung Bendang Tebal, Sik, Kedah.
Keinginan untuk menyambung pelajaran itu didorong oleh minatnya yang mendalam dalam bidang pemprosesan makanan selain bertujuan mendapatkan pendedahan lanjut mengenai bidang keusahawanan.
Ini adalah sejajar dengan tujuan penubuhan kolej komuniti iaitu menjadi institusi yang menyediakan keperluan latihan dan kemahiran pada semua peringkat sebelum ke pasaran tenaga kerja atau melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi. Nor Shuhaida telah membuat pilihan yang tepat dengan memilih politeknik & kolej komuniti (POLYCC) yang merupakan peneraju utama institusi TVET.
Ujar beliau, dia amat berbangga dan teruja kerana diberi peluang untuk menyambung pelajaran di salah sebuah institusi TVET dan berazam untuk memajukan diri ke peringkat tertinggi di sepanjang hayatnya.
Menurut Pengarah Kolej Komuniti Sik, En Zahrul bin Zakaria, beliau sangat mengalu-alukan kehadiran pelajar baharu yang ingin menyambung pelajaran di sini. Umur bukanlah penghalang untuk kita menambah ilmu dan meningkatkan taraf hidup kita. Tambahnya lagi, beliau berharap para pelajar mengambil peluang yang diberikan dengan belajar bersungguh-sungguh demi masa depan agar lebih terjamin.