15 November 2024, Shah Alam – Hampir 800 kilogram pakaian terpakai berjaya dikumpul menerusi Program Pengumpulan Pakaian Terpakai anjuran Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA).
Kesemua pakaian yang dikumpulkan sepanjang seminggu kempen berlangsung itu akan dihantar ke kilang yang menguruskan pakaian terpakai serta sebagai persediaan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
Pengarah PSA Zainah Rujihan berkata, inisiatif tersebut merupakan satu usaha murni yang dijalankan bersama antara SmartGreen, EKSA dan Puspanita PSA bersama Pelitawanis TNB yang bertujuan memupuk kesedaran tentang pentingnya amalan kitar semula serta menyokong inisiatif kelestarian alam.
“Setiap tahun industri fesyen menghasilkan berjuta-juta ton pakaian. Namun malangnya, sebahagian besar daripada pakaian ini berakhir di tempat pelupusan sampah.
“Tindakan ini bukan sahaja suatu pembaziran malah memberi kesan yang besar terhadap alam sekitar,” ujar beliau semasa berucap pada majlis yang diadakan di Anjung Bestari PSA.
Turut hadir Timbalan Pengerusi 1 Pelitawanis TNB Cawangan Glenmarie Fareeza Osman, Timbalan Pengerusi 2 Pelitawanis TNB Cawangan Glenmarie Razana Razak, Timbalan Pengarah Akademik PSA Ts. Dr. Ahmad Aftas Azman dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Ts. Mohd Firdauz Mhd Radzi.
Sementara itu Fareeza berkata inisatif tersebut secara tidak langsung menyokong Agenda Kelestarian dan aktiviti Environmental, Social and Governance (ESG) serta memperkukuhkan hubungan erat antara Pelitawanis TNB dengan komuniti setempat, termasuk institusi pendidikan seperti PSA.