‘PSA Sihat’ buka tirai azam 2024

POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
19 January 2024
Sukan

SHAH ALAM, 18 Januari 2024 – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) membuka tirai tahun 2024 dengan menggalakkan warganya mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat.

Timbalan Pengarah Akademik, Ts. Dr. Ahmad Aftas Azman berkata, selain daripada para pensyarah dan kakitangan kekal proaktif bagi mengharungi cabaran tahun 2024, PSA juga mahu warganya kekal sihat.

“Dalam memastikan kecemerlangan institusi seperti mana yang digariskan, kita bukan hanya memerlukan staf yang berilmu dan berkemahiran, tetapi juga mempunyai tahap kesihatan yang terbaik daripada aspek fizikal dan mental,”

“Justeru saya menyeru warga PSA untuk menyahut cabaran ini dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Ini secara tidak langsung sebagai cara meningkatkan kualiti pekerjaan dan memberi nilai tambah kepada keluarga kita,” ujarnya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Staf PSA yang diadakan di Dewan Al Jazari, semalam.

Beliau yang juga menjalankan tugas sebagai Pengarah PSA berkata, di bawah kempen ‘PSA Sihat’ pelbagai program turut dirangka sepanjang tahun antaranya pemeriksaan kesihatan, Fit4Raya, Smoke Free, Let’s Talk: Minda Sihat dan Minggu Psikologi.

“Sejak dilancarkan pada Disember lalu, kita dapat melihat warga PSA semakin aktif mengamalkan gaya hidup sihat. Setiap hari ramai yang hadir awal ke pejabat untuk bersenam di sekitar kampus.”

Ujarnya lagi, PSA turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Belia dan Sukan untuk berkongsi tips berkaitan kesihatan, pemakanan, kecergasan serta kaedah berhenti merokok.

Oktober tahun lalu media melaporkan lebih 50 peratus rakyat Malaysia mempunyai masalah berat badan berlebihan dan obesiti sekali gus kekal sebagai masalah utama kesihatan awam.


BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti