17 Februari 2023, Wonju – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) meneroka peluang bagi menjalin kerjasama dengan Korea Selatan khususnya dalam Bidang Elektronik Perubatan.
Untuk itu, satu Surat Hasrat (Letter of Intent) ditandatangani antara PSA dan Wonju Medical Industry Techno Valley Foundation (WMIT) pada 14 Februari 2023.
Menurut Timbalan Pengarah Akademik PSA, Ts. Roseman Mat Jidin, langkah itu bertujuan meneroka peluang kerjasama dalam bidang elektronik perubatan serta institut penyelidikan dan politeknik bagi tujuan pembangunan industri elektronik perubatan antara Malaysia dan Korea Selatan.
“Di PSA kami mempunyai kepakaran dalam bidang elektronik perubatan di mana selain menawarkan pengajian dalam bidang tersebut, kita juga mempunyai Centre for Medical Electronic Technology (CMET) yang merupakan pusat rujukan, penyelidikan dan inovasi elektronik perubatan dari dalam dan luar negara,”
“Justeru, melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak bersetuju berkongsi kepakaran dan teknologi di samping meneroka peluang pengkomersialan, penyelidikan dan pembangunan serta sokongan terhadap program-program anjuran kedua-dua institusi,”
Deligasi PSA yang diketuai Ts. Roseman mengadakan lawatan kerja selama empat hari ke Korea Selatan bermula 14 Februari lalu.
Di samping ke Wonju, mereka turut mengandakan kunjungan ke Korean Research in Technical and Vocational Technology (KRIVET) yang terletak di Sejong bagi bertukar-tukar pandangan, kepakaran dan teknologi dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).