PSH MADANI: Eratkan Kasih Keluarga Melalui Ilmu

KOLEJ KOMUNITI BANDAR DARULAMAN
24 February 2025
Uncategorized

Disediakan oleh: Rafizah Shaharuddin & Norzeti Zainal

“Sebelum ini susah nak cari masa bersama kerana masing-masing sibuk, tapi melalui kursus ini, kami dapat berkumpul, belajar sesuatu yang baru, sambil bergembira sebagai satu keluarga.” Demikian luahan rasa Dini Chor, 53 tahun, yang hadir bersama keluarganya menyertai kursus pendek sempena Program PSH MADANI dalam Karnival TVET POLYCC 2025 di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC), Langkawi.

Menurut Pn. Salmah Haji Ijam, Pengarah Kolej Komuniti Bandar Darulaman merangkap Pengerusi PSH Kedah dan Perlis, Program PSH MADANI kali ini menerima penyertaan hampir 1,000 orang peserta. Program ini bukan sahaja disertai penduduk Langkawi, malah turut menarik perhatian pelancong yang berkunjung ke pulau tersebut.

Sebanyak 38 kursus pendek melibatkan 11 institusi kolej komuniti dari Kedah, Perlis, dan Pulau Pinang ditawarkan sepanjang tiga hari penganjuran program. Antara kursus yang mendapat sambutan hangat adalah:
• Food Arts for Kids
• Wanpaku Sandwich
• Easy Tiny House Model
• Fruit Carving
• Barista Coffee Making
• DIY Gelang Manik
• Canting Batik
• Video Editing Using CapCut
• Mini Embroidery Hoop Keychain
• Seni Hiasan Cupcake (Gumpaste)

Dini Chor sekeluarga antara ribuan peserta yang memilih untuk meluangkan masa berkualiti bersama-sama melalui pelbagai kursus pendek yang ditawarkan. Menurut beliau, pengalaman ini bukan sahaja mencipta kenangan manis bersama ahli keluarga, tetapi juga membuka mata mereka terhadap peluang kemahiran baru yang dapat dipraktikkan di rumah.

Dini Chor mengakhiri perbualan dengan harapan agar program seumpama ini diteruskan, kerana beliau percaya aktiviti berasaskan kemahiran bukan sahaja membentuk individu berpengetahuan, tetapi turut menyatukan institusi keluarga.

Dini Chor bersama keluarga suami dan anaknya mengikuti kursus Food Art for Kids

Kisah keluarga Encik Azwanfadzli juga menarik perhatian apabila beliau membawa anaknya menyertai kursus Easy Tiny House Model. Kursus ini bukan sekadar membina model rumah kecil, tetapi berjaya menanam minat seni bina dalam diri anaknya. “Anak saya semakin berminat dengan reka bentuk selepas mengikuti kursus ini. Kami akan cuba buat projek kecil-kecilan di rumah nanti,” ujar beliau.

Image Not Found

Sementara itu, Nurul Aqilah Shahirah binti Norshahril, 17, bersama enam adik-adiknya sepakat menyertai kursus Wanpaku Sandwich mencuri perhatian ramai. Mereka bukan sahaja belajar cara menyediakan hidangan sihat, malah jelas terpancar kegembiraan dan kerjasama adik-beradik sepanjang aktiviti tersebut.

Nurul Aqilah Shahirah binti Norshahril 17 bersama adik-adiknya sepakat menyertai kursus Wanpaku Sandwich

Saiful Zamani Ghazali, 48, salah seorang pengamal industri dari PL Utara Enterprise Langkawi bersama pasukannya turut sama menyertai Kursus Pendawaian Litar Lampu dan Litar Kuasa Am. Beliau mencadangkan agar lebih banyak kursus dalam bidang elektrik diadakan bagi memberi nilai tambah kepada ilmu dan kemahiran sedia ada di samping membuka peluang berkongsi ilmu dan pengalaman dengan peserta-peserta lain.

Encik Saiful Zamani bersama kumpulannya dari PL Utara Enterprise Langkawi

Kursus Easy Tiny House Model memupuk minat asas senibina kanak-kanak dari kecil

Kursus Easy Tiny House Model telah menarik minat orang ramai untuk menyertainya termasuk kanak-kanak di mana dapat memupuk minat asas senibina dari kecil lagi.

Program ini terbukti menjadi platform yang bukan sahaja memperkasa komuniti melalui kemahiran TVET, malah berjaya menjadi medan penyatuan keluarga. Aktiviti sebegini mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan melalui pembelajaran yang santai dan bermanfaat.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti