PTSB Komited Gilap Graduan TVET Rebutan Industri

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
29 July 2025
Akademik, Aktiviti Pelajar, BERITA, Komuniti, Umum

KULIM HI-TECH – Kehadiran lebih 800 pelajar baharu ke Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) bagi Sesi I 2025/2026 bukan sahaja mencerminkan keyakinan terhadap pendidikan TVET malah menjadi simbol harapan baharu buat ratusan keluarga yang mempercayai PTSB sebagai landasan masa depan anak-anak mereka.

Seawal pagi, perkarangan kampus dihiasi wajah-wajah baharu yang ceria, tidak kurang juga yang sebak.  Namun, semuanya membawa satu semangat yang sama untuk bersedia melangkah ke alam baharu. Tidak kurang juga ibu bapa dan waris yang turut hadir, menghantar anak dengan penuh harapan dan doa agar mereka berjaya menimba ilmu dan menjadi insan berguna.

Sebagai institusi TVET yang terletak strategik di tengah-tengah kawasan perindustrian berteknologi tinggi, PTSB komited melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dalam bidang teknikal tetapi juga memiliki nilai, etika kerja dan ketahanan diri yang menjadikan mereka rebutan industri.

Pendaftaran pelajar baharu bukan sekadar bermulanya semester baharu tetapi permulaan kepada satu fasa kehidupan yang lebih mencabar dan bermakna. Di sinilah bakat akan diasah, potensi digilap dan masa depan dibentuk melalui pendekatan pembelajaran berasaskan amali, pemerkasaan teknologi serta sokongan tenaga pengajar yang berpengalaman.

PTSB percaya bahawa setiap pelajar membawa bersamanya sebuah cerita dan setiap daripadanya wajar diberi ruang untuk berkembang. Dengan sokongan warga politeknik dan ekosistem pembelajaran yang kondusif, PTSB bersedia membimbing generasi ini ke arah kecemerlangan.

Kredit Foto:
Aniqah Hanis Noor Hazlan
Unit Komunikasi Korporat
Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB)

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti