KULIM, 7 Januari 2025 – Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) melabuhkan tirai Minggu Haluan Siswa (MHS) Sesi II 2024/2025 melalui Majlis Perasmian Penutupan yang berlangsung di Dewan Muadzam Shah. Majlis ini disempurnakan oleh Dr. Mohd Nor Azam bin Mohd Dali, Timbalan Pengarah Akademik mewakili Pengarah PTSB, Hj. Mohd Ruzi bin Hamzah.
MHS bertindak sebagai platform penting untuk memperkenalkan pelajar baharu kepada budaya pembelajaran di PTSB termasuk sistem akademik, kokurikulum dan kemudahan komprehensif kampus. Para pelajar turut dibimbing dalam aspek pengurusan masa, komunikasi dan pembentukan sahsiah peribadi sebagai persediaan menghadapi dunia pengajian tinggi yang lebih mencabar.
Dalam ucapannya, Dr. Mohd Nor Azam menitikberatkan komitmen PTSB dalam merealisasikan aspirasi Pelan Transformasi Politeknik 2023-2035 yang merupakan cetak biru masa depan politeknik di Malaysia. Pelan ini mensasarkan pengeluaran 300,000 pelajar setiap tahun meliputi pelajar sepenuh masa, separuh masa dan micro-credentials.
Fokus utama kepada pembangunan pelajar yang memiliki kompetensi global dengan menguasai teknologi terkini seperti Internet of Things (IoT), kecerdasan buatan (AI), big data, cloud computing dan cybersecurity. Tambahan pula, pendekatan inovatif seperti Work-Based Learning (WBL) melibatkan kolaborasi industri serta pembelajaran jarak jauh moden melalui platform digital adalah antara teras utama pelan ini. Dengan ini, graduan politeknik berpotensi bukan sahaja berdaya saing dalam pasaran kerja tempatan tetapi juga mampu memenuhi keperluan industri antarabangsa.
Beliau turut mengingatkan bahawa kedudukan strategik PTSB di tengah-tengah Kulim Hi-Tech Park memberikan kelebihan unik kepada pelajar. Terletak berhampiran lebih 350 syarikat industri teknologi tinggi termasuk syarikat gergasi global seperti INTEL, Infineon dan First Solar, PTSB berpeluang menjalin kerjasama erat dengan industri. Kerjasama ini bukan sahaja menawarkan peluang latihan industri berkualiti tinggi tetapi juga memastikan pelajar didedahkan kepada teknologi terkini seperti semikonduktor, automasi dan teknologi hijau. Syarikat-syarikat ini memerlukan tenaga kerja mahir dan berkreadibiliti memberikan pelajar PTSB peluang cerah untuk terus relevan memenuhi keperluan pasaran kerja.
Ucapan perasmian diakhiri dengan pesanan kepada pelajar agar sentiasa berdisiplin, berpandangan jauh dan memanfaatkan setiap peluang sepanjang pengajian mereka.
“PTSB akan menjadi platform untuk kalian menggapai cita-cita, meneroka teknologi masa depan dan membawa impak positif kepada masyarakat dan negara,” ujar Dr. Mohd Nor Azam.
Majlis ini menutup tirai Minggu Haluan Siswa yang menjadi langkah awal pelajar baharu dalam perjalanan mereka di PTSB. Dengan sokongan kukuh dan pendekatan strategik, PTSB komited melahirkan graduan TVET yang mampu menjadi pemimpin masa hadapan di era digital.