PTSB Menang ‘Campus Vibes Challenge POLYCC’

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
06 August 2024
Umum

Kulim, Kedah – Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) telah mencatat sejarah memenangi Pertandingan TikTok POLYCC ‘Campus Vibes Challenge’ kategori Institusi anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK). Kemenangan ini membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000 dan sijil penghargaan.

PTSB pada mulanya hanya bertujuan untuk memeriahkan penyertaan dalam kalangan warga POLYCC seluruh Malaysia, ternyata membawa kejutan besar apabila video TikTok yang dihasilkan mendapat lebih 59,800 tontonan. Video ini berjaya menarik perhatian bukan sahaja warga PTSB tetapi juga komuniti yang lebih luas, menjadikan ia sebagai fenomena dalam kalangan penonton muda.

Idea untuk video ini dicetuskan oleh Encik Norman Hakim bin Ahmad, mantan Ketua Unit Pengurusan Psikologi di PTSB. Beliau bekerjasama dengan Pembimbing Rakan Siswa (PRS) PTSB untuk menghasilkan kandungan video yang mencerminkan semangat kampus dan kreativiti pelajar.

Encik Norman menzahirkan kegembiraan dengan pencapaian ini. “Walaupun saya tidak lagi berada di PTSB, saya sangat bersyukur dan teruja dengan kejayaan ini. Ia adalah hasil kerjasama dan komitmen daripada ramai pihak di PTSB. Tanpa bantuan dan sumbangan mereka, video ini tidak akan dapat dihasilkan dengan jayanya.”

Kejayaan ini adalah bukti kreativiti dan dedikasi pelajar PTSB memanfaatkan TikTok sebagai jaringan bagi memperkukuh hubungan dan semangat komuniti dalam kalangan pelajar dan institusi pendidikan. Semoga usaha ini dapat meniupkan inspirasi kepada seluruh warga untuk terus berinovasi menyuntik minat generasi muda khususnya terhadap pendidikan STEM dan bidang TVET seimbang dengan bidang-bidang yang lain.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti