
MEDAN, INDONESIA – Dalam usaha mengukuhkan jaringan pendidikan serantau, Pengarah PTSB, Haji Mohd Ruzi bin Hamzah diiringi Ketua Unit Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersialan (UPIK), Ts. Norizah binti Md. Ishak telah menyertai satu lawatan akademik ke beberapa institusi di Medan, Indonesia, baru-baru ini.
Pengarah PTSB memulakan lawatan dengan menghadiri Majlis Wisuda Politeknik Sekolah Tinggi Ilmu Manajemen (STIM) Sukma di Hotel Grand Mercure, Medan kerana diberi penghormatan sebagai tetamu jemputan khas. Selain meraikan kejayaan graduan, pertemuan ini juga membuka ruang untuk mengenal pasti peluang kolaborasi dalam bidang akademik.
PTSB turut melawat Politeknik Cendana, di mana sesi lawatan untuk meninjau kemudahan pembelajaran dan perbincangan bersama pihak pengurusan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas tentang sistem pendidikan di institusi berkenaan. Sesi rundingan akademik bagi mendiskusikan potensi kerjasama dalam penyelidikan serta pertukaran pelajar turut berlangsung.
Lawatan di Yayasan Pendidikan Harapan (YasPenDar) pula memberi pendedahan mengenai pendekatan pendidikan berasaskan teknologi dan strategi melahirkan graduan yang berdaya saing. Beberapa cadangan kolaborasi turut dikemukakan termasuk penganjuran seminar, bengkel inovasi serta program latihan industri yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.
Lawatan diakhiri dengan mesyuarat CiE-TVET di STIM Sukma berkenaan perancangan penganjuran persidangan antarabangsa dalam bidang TVET. Perbincangan ini merangkumi strategi pelaksanaan, penglibatan industri serta kerjasama antara institusi serantau bagi menjayakan program berimpak tinggi ini.
Keseluruhan lawatan ini mencerminkan komitmen PTSB dalam memperluaskan rangkaian akademik di peringkat antarabangsa serta membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dan tenaga pengajar dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan profesional.