KULIM – Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) dengan jayanya menganjurkan Sesi Taklimat Pengarah Bersama Waris Pelajar Baharu Sesi II 2024/2025 sempena Minggu Haluan Siswa (MHS), semalam.
Program yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah ini menjadi platform penting dalam mengukuhkan hubungan antara pihak institusi dan waris. Seramai 120 pelajar baharu dianggarkan telah mendaftar secara rasmi membawa semangat baharu untuk menyertai ekosistem pembelajaran di PTSB.
Hj. Mohd Ruzi bin Hamzah, Pengarah PTSB, dalam ucapan beliau menzahirkan pentingnya kerjasama antara pihak politeknik dan waris dalam memastikan kejayaan akademik dan sahsiah pelajar.
Beliau turut menekankan lokasi strategik PTSB yang terletak di kawasan Kulim Hi-Tech memberi kelebihan besar kepada pelajar. Kelebihan ini membuka ruang kepada pelajar untuk menimba pengalaman dalam latihan industri sekali gus berupaya mengakses peluang pekerjaan dalam sektor teknologi tinggi yang pesat berkembang.
Taklimat ini juga memberi ruang kepada waris untuk memahami sistem pembelajaran dan tatacara yang diterapkan oleh PTSB termasuk penggunaan Sistem Pengurusan Maklumat Politeknik (SPMP) bagi memantau kehadiran dan prestasi anak-anak mereka. Program ini diakhiri dengan sesi soal jawab yang interaktif yang membolehkan waris mendapatkan penjelasan secara langsung daripada pihak pengurusan.
PTSB kekal komited dalam menyediakan pendidikan berkualiti melalui pendekatan TVET dan memastikan graduan yang dilahirkan seimbang dari segi akademik, keusahawanan dan sahsiah diri yang terpuji.
Inisiatif seperti ini mencerminkan usaha berterusan PTSB dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang holistik dan inklusif.