
KULIM, 9 Mac 2026 – Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) telah menjadi tuan rumah bagi penganjuran Program Ihya Ramadan POLYCC Zon Kedah/Perlis Tahun 2026, yang menghimpunkan warga Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia (POLYCC) dalam usaha mengimarahkan bulan Ramadan melalui pengisian kerohanian, kebajikan dan aktiviti kemasyarakatan.



Program ini merupakan penganjuran julung kali yang dilaksanakan secara serentak di sepuluh (10) politeknik terpilih mewakili zon-zon POLYCC di seluruh negara sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan POLYCC dalam memupuk nilai spiritual, kebersamaan dan kesejahteraan dalam kalangan warga.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Ts. Abdul Razak bin Sabtu, Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, yang hadir secara bersemuka mewakili Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti. Program tersebut turut melibatkan penyertaan warga POLYCC secara serentak melalui pelaksanaan aktiviti mengikut zon di seluruh negara.

Pelbagai pengisian bermakna telah dilaksanakan sepanjang program ini, antaranya Quran Hour – Tadabbur Surah Al-Muzammil yang memberi ruang kepada warga POLYCC untuk mendekati Al-Quran melalui penghayatan dan tadabbur ayat-ayat suci. Selain itu, penyampaian Bakul Kasih Ramadan serta sumbangan zakat kepada pelajar asnaf turut diadakan sebagai usaha menyemai nilai keprihatinan dan semangat berkongsi rezeki dalam kalangan warga kampus.





Program ini turut diserikan dengan aktiviti kacau bubur lambuk, Bazar Ramadan yang melibatkan penyertaan pelajar, serta ceramah kenegaraan oleh Akademi Kenegaraan Malaysia yang menekankan nilai patriotisme, kepimpinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan generasi muda.
Penganjuran Ihya Ramadan ini bukan sahaja menghidupkan suasana Ramadan di kampus, malah menjadi platform untuk memperkukuh ukhuwah, menyemarakkan budaya ilmu serta menyuburkan nilai ihsan dalam kalangan warga POLYCC.
Diharapkan program seumpama ini dapat terus menjadi wadah yang memperkasa pembangunan sahsiah pelajar secara holistik, selaras dengan aspirasi POLYCC dalam melahirkan graduan yang berilmu, berkemahiran serta berakhlak mulia.