PUO dan UTHM teroka peluang kerjasama baru

POLITEKNIK UNGKU OMAR
11 January 2024
Akademik

10 Januari 2024 , Ipoh – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengukuhkan lagi hubungan strategiknya dengan Politeknik Ungku Omar (PUO) melalui lawatan kerja rasmi yang berlangsung di sini, hari ini.

Delegasi UTHM diketuai oleh Yang Berhormat Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi bin Abdul Rahim, Naib Canselor UTHM telah mengadakan sesi perbincangan intensif dengan barisan kepimpinan PUO yang diketuai oleh Dr. Shamsuri Abdullah. Beberapa bidang tumpuan yang berpotensi sebagai asas kolaborasi adalah penyelidikan bersama, penyeliaan tesis bersama dan permohonan pelajar asasi TVET PUO ke UTHM.

Lawatan rasmi ini juga melibatkan tinjauan ke fasiliti-fasiliti PUO dan turut memberi delegasi UTHM gambaran yang jelas tentang infrastruktur dan kemudahan-kemudahan pembelajaran yang tersedia di PUO.

Satu perkembangan menarik dalam lawatan ini adalah minat yang diperlihatkan oleh pelajar asasi TVET PUO terhadap program ijazah UTHM. Dalam sesi taklimat khas, UTHM memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai program-program pendidikan mereka, dengan harapan untuk menarik minat pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di UTHM.

Dr. Shamsuri Abdullah, Pengarah PUO, menyatakan harapan beliau terhadap hasil positif daripada lawatan ini. “Kami optimis untuk menyaksikan tambah nilai yang positif hasil perbincangan dan lawatan ini. Kerjasama yang lebih kukuh adalah kunci untuk membawa pendidikan dan penyelidikan kita ke tahap yang lebih tinggi.”

Lawatan ini dianggap sebagai langkah proaktif dalam memperkukuhkan hubungan akademik antara UTHM dan PUO serta mengekalkan momentum pembangunan pendidikan vokasional dan teknologi kejuruteraan ke tahap yang lebih tinggi.

Untuk rekod, seramai 144 kakitangan PUO atau 30.6 % adalah alumni UTHM.


Sumber gambar : UTHM

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti