Rahsia khazanah laut Semporna

KOLEJ KOMUNITI SEMPORNA
25 July 2023
RENCANA

Dikenali sebagai “Maldives Asia Tenggara” di Malaysia, daerah Semporna merupakan salah satu tempat syurga idaman kepada semua pencinta alam lautan khususnya, bagi penggiat selam skuba dan aktiviti rekreasi air seperti snorkelling. Memiliki lebih dari 20 pulau-pulau peranginan, daerah Semporna menjadi salah satu destinasi pilihan percutian bagi pelancong seluruh dunia.

Terletak indah di kawasan pantai timur Sabah, Pulau Sipadan merupakan salah satu tarikan utama pelancong dalam dan luar negara untuk mengadakan aktiviti selam skuba dan snorkelling dari seluruh dunia. Mempunyai keluasan keseluruhan sebanyak 16,860 hektar, keluasan daratan sebanyak 13.5 hektar dan kedalaman sebanyak 600 meter dari dasar laut hasil dari pembentukan batu karang yang berbentuk cendawan. Rentetan itu, Pulau Sipadan yang mempunyai diversity hidupan biologi marin lebih dari 3000 spesis ikan tidak termasuk ratusan spesis batu karang di perairan itu telah mengangkat Pulau Sipadan sebagai salah sebuah 10 Pulau yang tercantik dasar laut di dunia.

Pulau Sipadan yang diuruskan sepenuhnya oleh Taman-Taman Sabah sejak tahun 2004 diwartakan sebagai Taman Laut dan pada ketika itu semua kemudahan penginapan telah ditutup untuk semua pelancong bagi melindungi semua warisan hidupan dasar laut di perairan Pulau Sipadan.

Dari aspek keselamatan pula, Pulau Sipadan dikawal ketat sepenuhnya oleh Pasukan Anggota Tentera Malaysia (ATM), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) serta kumpulan kakitangan Unit Penyelidikan Marin Taman Pulau Sipadan. Setiap penyelam atau penggiat aktiviti snorkelling yang berhasrat untuk melawat Pulau Sipadan, mereka perlu mendapat kebenaran daripada Taman-Taman Sabah terlebih dahulu. Pelancong tidak mematuhi protocol peraturan yang telah ditetapkan akan diambil tindakan undang-undang oleh Taman-Taman Sabah atau pihak berwajib dengan hukuman minima denda dan penjara menanti.

Sebagai salah seorang penyelam yang telah menceburkan diri dalam dunia selam skuba ini sejak tahun 2012, saya berpendapat bahawa aktiviti selam skuba yang acap kali dilakukan di Pulau Sipadan merupakan salah satu aktiviti yang sepatutnya tidak dilepaskan sekiranya diberi peluang. Melihat keindahan alam dasar laut yang tidak terbanding menjadikan akviti selam skuba menjadi salah satu aktivti yang boleh menjadi terapi minda terutama kepada peminat fotografi dasar laut. Dengan mempunyai sebanyak lebih kurang 12 kawasan selaman yang terkenal ini termasuklah, Hanging Garden (Taman Tergantung), North Point, Lobster Lair, West Ridge, Coral Drop Off, South Point, Mid Reef, Turtle Patch, White Avenue dan paling ekstrim menarik adalah Turtle Cave (Gua Penyu).

Informasi terkini 2023 berkenaan aktiviti selaman di Pulau Sipadan yang diwartakan oleh Taman-Taman Sabah, Malaysia menyatakan bahawa setiap penyelam yang ingin menyelam di kawasan Pulau Sipadan perlu memiliki lesen minimum lesen menyelam minima tahap Advance. Dalam pada itu, anda perlu mendapatkan permit yang dibenarkan terlebih dahulu diluluskan oleh Taman Marin Sabah. Kouta dan permit yang dikeluarkan setiap hari dihadkan hanya sebanyak 176 permit masing-masing 156 permit menyelam dan 20 permit untuk aktiviti snorkelling.Setiap permit yang dimohon hanya sah laku dalam masa sehari sahaja. Manakala jumlah selaman dalam tempoh sehari tidak melebihi dari 2 selaman sahaja dan sudah tentunya dipantau oleh pihak ESSCOM dan Marin Malaysia.

Sementelahan itu, dingatkan juga kepada semua penyelam agar sentiasa mematuhi semua peraturan samada sebelum, semasa atau selepas mengadakan aktiviti rekreasi air seperti selam skuba atau snorkelling. Ini bertujuan agar kempen untuk menjaga khazanah hidupan biologi marin dasar laut sentiasa terjaga dengan menggalakkan pemeliharaan dan pemuliharaan fauna. Alam dasar laut yang terjaga dan terhindar dari sebarang aktiviti pencemaran merupakan modal utama produk aktiviti pelancongan agar pelancong terus datang menyelam di Pulau ini seterusnya menjadikan destinasi utama kegemaran mereka.
Masih ramai yang tertanya-tanya bagaimana pelancong atau penyelam tegar ini mendapatkan pakej selam scuba atau tatacara tempahan dilakukan sebelum melakukan aktiviti selaman yang terindah di Pulau Sipadan. Sebenarnya tempahan boleh sahaja didapati samada melalui media social atau atas talian dengan hanya menekan kata kekunci tempahan selam scuba di Pulau Sipadan diruangan carian google atau yahoo. Walaubagaimanapun, kepada mereka yang datang melalui jalan darat di kawasan Sabah, mereka boleh menaiki bas pengangkutan awam atau memandu sendiri terus menuju ke Semporna. Sampai sahaja di Semporna, pelancong boleh terus ke jeti Pelancong Semporna untuk membuat tempahan bot bagi merancang perjalanan selam scuba anda di Pulau Semporna.

Dalam pada itu, anda juga boleh melantik mana-mana ejen pelancongan yang sah pendaftaran dengan Kementerian Pelancongan Malaysia, Sabah (MOTAC) bagi perkhidmatan pendaftaran sekaligus memudahkan perancangan perjalanan anda.

Justeru itu, kepada semua rakyat Malaysia khususnya, penyelam-penyelam serta pencinta alam dasar laut, marilah kita Bersama-sama menjaga khazanah warisan yang tiada nilainya agar sentiasa segar, tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Datanglah ke Pulau-Pulau sekitar daerah Semporna bagi mencipta kenangan terindah Bersama keluarga dan insan-insan yang tersayang.

Penulis :

Encik Ahmad Bukharie bin Md Said
Pensyarah Unit Pegembaraan Pelancongan
Kolej Komuniti Semporna

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti