28 Ogos 2024, Sabak Bernam – Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor telah berkenan untuk mencemar duli ke reruai pameran interaktif Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB) yang mengetengahkan konsep fesyen dan pakaian bersempena Hari Terbuka TVET Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) tahun ini.
Pengarah KKSB, Encik Ahmad Arman bin Nor Anuar turut berpeluang menyampaikan cenderamata kepada baginda berbentuk sehelai sapu tangan corak batik yang dicanting oleh Unit Fesyen dan Pakaian KKSB berserta kotak cenderamata ukiran seni kayu daripada Maker Market KKSB.
Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB) merupakan salah satu institusi pendidikan dan kemahiran sekitar Selangor yang dijemput oleh tuan rumah bagi program ini untuk membuat pameran interaktif sepanjang program berlangsung.
Baginda meluangkan masa kira-kira satu jam melawat lokasi kelas, bengkel dan pameran-pameran sebelum berangkat ke majlis perasmian.
Terdahulu, Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Sg. Lang, Selangor menjadi tuan rumah bagi pelaksanaan Hari Terbuka TVET YRMS pada tahun ini dengan kerjasama sepenuhnya oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Pameran interaktif pendidikan dan kemahiran diadakan untuk memberi pendedahan kepada pengunjung terutamanya komuniti tempatan dan warga PSIS tentang pendidikan TVET yang meluas dan dapat memberi nilai tambah kepada kemajuan negara.
Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YRMS, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, YRMS membantu anak-anak muda melalui tiga program iaitu bengkel eksplorasi diri, latihan berasaskan kemahiran, dan bakat untuk dunia.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Terbuka TVET YRMS di Dewan PSIS.
Tambah beliau, Hari Terbuka TVET YRMS merupakan satu platform semua pihak mengenali lebih dekat institusi berkemahiran TVET. Sejak tahun 2022, program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan penganjuran pertama di Kolej Komuniti Selayang dan tahun kemudiannya di Kolej Komuniti Kuala Langat.
“YRMS ditubuhkan untuk memberi peluang kepada belia terpinggir dan belia yang kurang cenderung kepada akademik tetapi mempunyai bakat dan kemahiran yang terpendam yang boleh dicungkil dan dikembangkan.”
Selain memenuhi jemputan sebagai pempamer, Pensyarah Teknologi Elektrik KKSB turut dijemput sebagai tenaga pengajar bagi slot bengkel eksplorasi diri kepada pelajar yang terpilih. Para pelajar diberi pendedahan melalui kursus amali berkaitan Mini Project Electronic.
Sementara di perkarangan luar dewan, deretan gerai usahawan terdiri daripada pelbagai institusi pendidikan dan jualan produk tempatan daripada komuniti setempat turut memeriahkan majlis.
KKSB turut memenuhi jemputan untuk membuka gerai keusawanan bagi memperkenal dan menjual produk ukiran kayu Maker Market KKSB.