
Arau, 5 Ogos 2025 – Program REKADEKA: Cabaran Gaya Merdeka anjuran program Fesyen dan Pakaian (SFP) Kolej Komuniti Arau Perlis (KKA) telah berlangsung dengan penuh warna-warni dan semangat kebangsaan hari ini.
Program ini merupakan sebuah pertandingan yang mengetengahkan penghasilan busana bertemakan kemerdekaan, hasil kreativiti dan kerja tangan pelajar SFP. Berteraskan elemen pembelajaran berimpak tinggi, REKADEKA 2025 berjaya mencungkil bakat, kreativiti dan penghayatan terhadap semangat patriotisme melalui seni reka fesyen.
Bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar baharu dalam dunia fesyen dan pakaian, program ini juga menjadi platform untuk mengukuhkan hubungan ukhuwah antara pelajar dan pensyarah sekali gus mencipta suasana pembelajaran yang lebih mesra dan inklusif.
Setiap rekaan yang dipersembahkan mempamerkan interpretasi unik terhadap tema kemerdekaan, menggabungkan elemen tradisional dan moden serta menyampaikan mesej cinta akan negara melalui perspektif anak muda berjiwa seni. Hasil rekaan ini turut diperlihatkan sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2025 di perkarangan Kolej Komuniti Arau (KKA) sekali gus membangkitkan suasana penuh patriotik dalam kalangan warga kampus.
Penganjuran program ini turut diharap mampu menyemai nilai jati diri, keyakinan diri serta semangat cinta tanah air dalam kalangan pelajar sejajar dengan semangat Malaysia MADANI dan sambutan Bulan Kebangsaan 2025.
Tahniah diucapkan kepada seluruh pensyarah dan pelajar SFP KKA atas komitmen dan semangat yang ditunjukkan dalam menjayakan program REKADEKA ini.