‘Road To POLYCC’ berjaya tarik minat lebih 190 pelajar sekolah untuk kenali dunia TVET

POLITEKNIK SANDAKAN SABAH
18 January 2024
Aktiviti Pelajar

17 Januari 2024, Sandakan –  Road to POLYCC melibatkan 190 pelajar sekolah dari Daerah Sandakan dan Kunak yang berpotensi menyambung pengajian dalam bidang TVET. Program ini dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Sandakan dan dikelolakan oleh Politeknik Sandakan Sabah dengan kerjasama 10 Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Sabah.

Program selama 3 hari 2 malam ini memberi peluang kepada para pelajar merasai sendiri pengalaman sebagai seorang pelajar TVET apabila didedahkan kepada program-program dan kursus-kursus yang ditawarkan di POLYCC seluruh Sabah. Mereka juga berpeluang mencuba sendiri setiap peralatan dan bahan yang digunakan dalam kursus dan program yang ditawarkan. 

Program ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran YB Datuk Mokran Ingkat, Ahli Dewan Undangan Negeri N.51 Sungai Manila pada hari kedua program berlangsung. Yang Berhormat Datuk sempat mencuba produk-produk inovasi POLYCC semasa lawatan ke tapak-tapak pameran Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sabah.

“We can set our path after SPM, what we are going to do” kata Mohd Azizul Bin Tamim, pelajar SMK Elopura Bestari yang menjadi salah seorang peserta Program Road To PolyCC. Wyne Chelson pelajar dari SMK Segaliud juga berkata “kami merasa sendiri pengalaman bermain dengan robot dan ikan.” Saudara Wyne Chelson yang juga amat berminat dengan bidang perikanan berhasrat menyambung pengajian beliau di Politeknik Sandakan dalam bidang akuakultur. 

Majlis Penutupan Program Road To POLYCC dimulakan dengan ucapan alu-aluan tuan rumah, En. Mohd Sani Bin Said, Pengarah Politeknik Sandakan Sabah dan kemudian disempurnakan oleh En. Shariff Ismarhafiz bin Abd Rahman, Ketua Pemuda UMNO kawasan Libaran yang mewakili YB Suhaimi Bin Hj. Nasir, Ahli Parlimen P184 Libaran. Beliau percaya program sebegini mampu mendedahkan bukan sahaja pelajar tetapi juga komuniti setempat khususnya warga Sandakan dengan dunia TVET yang sememangnya terbukti kebolehpasarannya. “Program sebegini juga perlu diteruskan pada masa hadapan untuk membina halatuju murid yang jelas dan meningkatkan peratus kebolehpasaran pelajar lepasan SPM melanjutkan pelajaran” ulas Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah En. Rosman Bin Idris dalam ucapannya. 

Impak daripada program ini bukan sahaja dirasai oleh pelajar sekitar Sandakan tetapi juga kepada komuniti Sandakan yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang TVET.


BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti