26 Januari 2024, Kuantan – Projek pendawaian dan pemasangan Sagu Sustainable Solar System (4S) mampu memberikan manfaat jangka panjang kepada masyarakat dan pada masa yang sama dapat mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar.
Projek 4S ini sejajar dengan Pelan Strategik Politeknik dan Kolej Komuniti 2018-2025 telah dibangunkan bersama-sama Blueprint SmartGreen PolyCC 2021-2026 (BSGPC) sebagai rujukan utama dalam melaksanakan inisiatif hijau bagi mencapai aspirasi TVET mampan dengan memfokuskan TUJUH (7) bidang tumpuan iaitu Pengurusan Pendidikan dan Penyelidikan, Pengurusan Tenaga dan Perubahan Iklim, Pengurusan Alam Sekitar dan Landskap, Pengurusan Sisa, Pengurusan Air dan Pengangkutan.
Bagi menyokong aspirasi ini, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) melalui Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE) mengambil langkah pro-aktif dalam melestarikan alam sekitar dengan memasang panel sistem solar bagi menjana tenaga elektrik bersih melalui Program Khidmat Komuniti Pendawaian dan Pemasangan 4S di Pintu Gerbang FELDA Bukit Sagu 2, Kuantan.
Pemasangan panel sistem solar sebagai inisiatif teknologi hijau ini bakal mempertingkatkan impak pembangunan mesra alam dan kesejahteraan sejagat sejajar komitmen POLISAS mencapai Matlamat Pembangunan Mampan, (Sustainable Development Goal, SDG) Negara menjelang 2030 (Agenda 2030).
Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik POLISAS, Rais Rabani Abd Rahman berkata, penggunaan tenaga solar mampu membantu mengurangkan jejak karbon (carbon footprint) yang ketara serta mengelakkan penghasilan gas rumah hijau (green house gas). Proses ini akan membantu kelestarian alam seterusnya meningkatkan kualiti hidup selain ianya juga merupakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui (renewable energy) dan berterusan dari semasa ke semasa.
“Projek 4S ini menyalurkan bekalan kuasa kepada papan paparan elektronik (electronic display board) di pintu gerbang masuk FELDA Bukit Sagu 2 yang turut mengindahkan pintu gerbang tersebut dengan paparan serta kerlipan lampu ”, katanya.
Tambah beliau lagi, Projek 4S ini adalah manifestasi pemerkasaan SDG dan menjadi permulaan terbaik kepada kerjasama mampan antara POLISAS dan FELDA serta dilihat mampu menjadi sebagai salah satu ejen perubahan dalam masyarakat bagi mencapai pembangunan mampan dan kelestarian persekitaran melalui penjanaan berkesan tenaga hijau.
“Dengan kerjasama melalui projek 4S ini diharap ianya menjadi pemangkin penyelidikan dan inovasi dalam kalangan warga JKE POLISAS khususnya untuk berfikiran lebih kreatif dan inovatif bagi mencari penyelesaian permasalahan alam sekitar ”, ujarnya lagi.