Sedekad Tindakan Keselamatan Jalan Raya

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
21 August 2024
RENCANA

Sistem infrastruktur pengangkutan jalan raya sering kali dikaitkan dengan kemalangan kenderaan. Sebaik sahaja kereta bermotor muncul, berlakunya kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kecederaan dan kematian. Kematian di jalan raya yang berkaitan kenderaan bermotor pertama telah didokumentasikan di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) masing-masing pada tahun 1896 dan 1899. Menjelang tahun 1962, dipercayai bahawa lebih daripada 100,000 individu meninggal dunia setiap tahun di seluruh dunia akibat kemalangan jalan raya.

Pada abad ke-19, pemilikan kenderaan bermotor terus bertambah dan keadaan ini telah menyebabkan berlakunya potensi peningkatan kemalangan jalan raya. Sehubungan itu, data terkini menunjukkan lebih daripada 3,500 orang saban hari mati akibat kemalangan maut di jalan raya. Manakala dianggarkan 50 juta kecederaan telah dicatatkan setiap tahun di seluruh dunia. Sebagai contoh, pada tahun 2021, dianggarkan terdapat 1.19 juta kemalangan maut di jalan raya. Angka yang sangat membimbangkan ini secara matematiknya adalah berkadaran dengan 15 kematian di jalan raya bagi setiap 100,000 penduduk.

Kematian dan kecederaan akibat berpunca daripada lalu lintas jalan raya kekal sebagai cabaran kesihatan dan pembangunan global yang utama. Sehingga tahun 2019, kemalangan jalan raya adalah pembunuh utama kanak-kanak dan belia berumur 5 hingga 29 tahun dan merupakan punca utama kematian ke-12 apabila semua peringkat umur dipertimbangkan. Data menunjukkan dua pertiga daripada kematian berlaku adalah di kalangan orang yang berumur bekerja (18-59 tahun). Justeru, keadaan ini telah menjejaskan kepada kemudaratan kesihatan, sosial dan ekonomi yang besar di kalangan masyarakat dunia.

Dalam pada itu, dicatatkan bahawa lebih separuh daripada kematian adalah terdiri daripada kalangan pejalan kaki, penunggang motosikal dan penunggang basikal. Pengguna kenderaan empat roda menyumbang hampir satu pertiga daripada kematian. Manakala kenderaan yang membawa lebih daripada sepuluh orang penumpang, kenderaan berat dan barangan dan pengguna “lain-lain” merupakan satu perlima daripada jumlah kematian di jalan raya. Mod kenderaan jenis mikro-mobiliti seperti e-skuter pula menyumbang tiga peratus daripada jumlah kematian.

Pengguna jalan raya yang terdedah kepada kemalangan seperti pejalan kaki, penunggang motosikal dan penunggang basikal kekal terdedah secara berbahaya. Menurut kajian, hampir 80 peratus daripada semua jalan yang dinilai tidak memenuhi penarafan minimum tiga bintang untuk keselamatan pejalan kaki, dan perkadaran data menunjukkan bahawa kematian penunggang basikal meningkat apabila hanya 0.2 peratus daripada semua jalan yang dinilai mempunyai lorong khas untuk berbasikal. Pertambahan 20 peratus kematian di kalangan penunggang basikal adalah membimbangkan.

Di peringkat global, 28 peratus daripada semua kematian berlaku di Wilayah Asia Tenggara, 25 peratus di Wilayah Pasifik Barat, 19 peratus di Wilayah Afrika, 12 peratus di Wilayah Amerika, 11 peratus di Wilayah Mediterranean Timur, dan lima peratus di Wilayah Eropah. Data menunjukkan bahawa sembilan daripada sepuluh kematian berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana, manakala penduduk di negara berpendapatan rendah terus menghadapi risiko kematian tertinggi bagi setiap penduduk. Ironinya, risiko kematian adalah tiga kali lebih tinggi di negara-negara yang berpendapatan rendah berbanding negara-negara yang berpendapatan tinggi walaupun negara-negara ini mempunyai kurang daripada satu peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan bermotor.

Kemalangan jalan raya juga memberikan implikasi yang besar terhadap perkembangan ekonomi sesuatu negara. Dapatan kajian oleh Simiao Chen dan rakan-rakan pada tahun 2019 yang telah diterbitkan dalam jurnal The Lancet Planetary Health, didapati bahawa kos mikro-ekonomi global kemalangan jalan raya adalah setinggi USD1.80 trilion, yang bersamaan dengan sekitar 10-12 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global. Oleh yang demikian, kemalangan jalan raya adalah cabaran kesihatan dan pembangunan yang sangat penting untuk dititikberatkan.

Walaupun setiap kecelakaan jalan raya itu sebenarnya boleh dicegah, kemalangan jalan raya kekal sebagai punca utama kematian di seluruh dunia. Menyedari hakikat ini, pada 28 Oktober 2021 yang lalu, Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan bahawa tempoh 2021–2030 sebagai Sedekad Kedua Tindakan Keselamatan Jalan Raya. Pelan Global yang telah dilancarkan ini adalah berdasarkan lima tonggak Sedekad Tindakan Keselamatan Jalan Raya dan bermatlamat untuk mengurangkan kadar kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya kepada 50 peratus menjelang tahun 2030. Pelan Global ini bertindak sebagai panduan dan seterusnya menjawab persoalan apa tindakan yang perlu diambil, bagaimana tindakan dilaksanakan dan siapa yang bertanggungjawab dalam meningkatkan tahap keselamatan jalan raya.

Kemajuan yang dibuat semasa Sedekad Tindakan Keselamatan Jalan Raya 2011-2020 sebelum ini telah meletakkan asas untuk mempercepatkan tindakan pada tahun-tahun akan datang. Antara pencapaiannya adalah kemasukan keselamatan jalan raya dalam agenda kesihatan dan pembangunan global, menyebarluaskan panduan saintifik tentang perkara yang berkesan, pengukuhan perkongsian dan rangkaian, dan penggemblengan sumber. Pelan Global baharu ini memberi peluang untuk memanfaatkan kejayaan dan pengajaran tahun-tahun sebelumnya dan membinanya untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Secara umumnya, Pelan Global ini menyenaraikan cadangan tindakan serta menjelaskan keperluan untuk pelaksanaan tindakan, tanggungjawab bersama serta pemantauan dan penilaian tindakan yang perlu dilakukan dalam meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dengan memberi penekanan kepada tiga prinsip utama. Pertamanya, reka bentuk sistem bukan sahaja perlu bersifat selamat, tetapi juga cekap dan responsif terhadap keperluan pengguna. Keduanya, keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama dan kerajaan serta pihak-pihak yang terlibat perlulah diiktiraf dengan sewajarnya. Yang terakhir, sistem pengangkutan dan mobiliti yang sentiasa berkembang dan selamat adalah satu proses yang berterusan.

Selain itu, Pelan Global ini juga mengambil pendekatan holistik terhadap keselamatan jalan raya; penambahbaikan berterusan dalam reka bentuk jalan raya dan kenderaan; peningkatan dan penguatkuasaan undang-undang; dan penyediaan respon selepas berlakunya kemalangan. Pelan ini mencerminkan penggalakan dasar Deklarasi Stockholm bagi menggalakkan masyarakat untuk berjalan kaki, berbasikal dan menggunakan pengangkutan awam sebagai mod pengangkutan yang selamat, sihat dan mesra alam.

Pelan Global menggariskan bahawa sesuatu pendekatan dan tindakan yang disyorkan perlulah berdasarkan bukti keberkesanannya, serta amalan terbaik untuk mencegah daripada berlakunya trauma akibat kemalangan jalan raya. Pendekatan berterusan yang baik dilaksanakan sebagai pelan tindakan untuk memaklumkan dan memberi inspirasi kepada rancangan nasional dan tempatan yang disesuaikan dengan konteks tempatan, sumber dan kapasiti yang ada. Setiap orang berperanan dalam menjadikan mobiliti yang selamat, inklusif dan mampan adalah suatu realiti.

Seterusnya Pelan Global berperanan dalam menekankan keperluan untuk pembiayaan terakru untuk intervensi keselamatan jalan raya. Dana Keselamatan Jalan Raya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan terus memperkukuhkan kapasiti kerajaan untuk melaksanakan penambahbaikan keselamatan jalan raya yang berkekalan dan berkesan. Ini dapat dilakukan dengan memanfaatkan pelaburan awam dan swasta ke arah inisiatif berimpak tinggi di negara berpendapatan rendah dan sederhana, di mana lebih 90 peratus kematian berlaku di negara-negara tersebut. Kerajaan mesti memimpin strategi yang berteraskan data yang baik, disokong oleh undang-undang dan dana yang kukuh, serta melibatkan semua sektor yang berkaitan. Peniaga mesti meletakkan keselamatan dan kemampanan sebagai teras rantaian nilai mereka. Ahli akademik dan masyarakat awam mesti memperkukuhkan dan memastikan pertanggungjawaban daripada kalangan pemimpin dalam perlaksanaan sesuatu polisi kerajaan yang berkaitan. Sementara itu, masyaratkat belia boleh berperanan dengan menuntut tindakan dan membantu menjayakannya.

Pendekatan mobiliti yang lebih holistik ini akan membawa faedah dalam menangani banyak isu penting lain. Sebagai contoh, dengan menggalakkan lebih banyak aktiviti berjalan kaki dan berbasikal, kita boleh mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit, mengurangkan pencemaran alam dan memerangi perubahan iklim. Dengan keutamaan diberikan terhadap keselamatan pengguna jalan raya yang terdedah, kita juga boleh membantu mengurangkan kemiskinan dan menangani ketidaksamaan, termasuklah akses kepada peluang pekerjaan dan pendidikan.

Peningkatan dalam kenderaan bermotor dan sistem pengangkutan berasaskan kenderaan bermotor menimbulkan persoalan serius mengenai kelestarian alam. Apabila populasi global dan bandar semakin bertambah, permintaan untuk mobiliti akan mengatasi kapasiti sistem yang banyak bergantung pada kenderaan persendirian. Dengan peningkatan pelepasan gas rumah hijau, ini juga menimbulkan cabaran kepada usaha untuk memenuhi sasaran iklim global.

Penyelarasan yang lebih baik melalui pimpinan dari bidang berkaitan boleh membantu mengukuhkan impak yang berkesan. Peningkatan kesedaran tentang krisis keselamatan jalan raya di kalangan pembuat dasar dengan memanfaatkan pelaburan yang lebih besar ke dalam sistem mobiliti selamat yang direka untuk kegunaan orang ramai.

Sedekad Kedua Tindakan Keselamatan Jalan Raya ini adalah sangat bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Ketiga iaitu untuk memastikan kehidupan yang sihat dan menggalakkan kesejahteraan untuk semua peringkat umur.

Penulis :

Dr. Ahmad Yusri Mohamad

Pensyarah, Jabatan Kejuruteraan Awam

Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Pahang, Malaysia.

Prof. Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff

Pensyarah, Jabatan Kejuruteraan Awam

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor, Malaysia.

Prof. Ir. Dr. Sri Atmaja P. Rosyidi

Profesor, Jabatan Kejuruteraan Awam

Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY), Yogjakarta, Indonesia.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti