
BANTING, 13 Ogos 2025 – Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL) dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) telah menganjurkan Majlis Penyerahan Simbolik 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL) di foyer kolej, di sini hari ini.
Program ini dilaksanakan bagi memupuk semangat patriotisme dan menggalakkan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang di setiap rumah, premis kerajaan, premis perniagaan serta kenderaan menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
Hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) , Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) En. Erwin Khairul bin Ahmad, dan Pengarah Kolej Komuniti Kuala Langat dan Cawangan Sepang , En. Mohd Asyraf bin Md Sum.
Majlis diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya penyerahan kit simbolik Jalur Gemilang, nyanyian lagu Negaraku dan Jalur Gemilang oleh warga KKKL, sesi bergambar bersama tetamu, serta acara kemuncak Flag Off Konvoi Kemerdekaan melibatkan basikal, motosikal dan kenderaan kolej berarak mengelilingi kawasan sekitar.
Pengarah KKKL & KKKLCS En. Mohd Asyraf bin Md Sum dalam ucapannya menyeru seluruh warga kolej dan masyarakat setempat agar terus mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan pejuang kemerdekaan dan simbol kesatuan rakyat Malaysia.
“Kita mahu memastikan semangat kemerdekaan bukan hanya dirasai pada tarikh 31 Ogos, tetapi disemai sepanjang masa dalam jiwa rakyat,” katanya.
KKKL berharap melalui penganjuran program ini, semangat Kibarkan Jalur Gemilang dapat terus diperkasa demi kelestarian perpaduan negara.