
Jerantut, 12 April — Kolej Komuniti Jerantut telah menerima lawatan ringkas daripada Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri bin Abdullah, dalam satu sesi yang berlangsung baru-baru ini. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak jabatan dalam memastikan kecemerlangan institusi TVET sentiasa diperkasa.
Dr. Shamsuri bin Abdullah juga berkesempatan melawat kemudahan dan prasarana pembelajaran yang disediakan, bagi memastikan persekitaran kondusif dan selaras dengan keperluan industri semasa. Usaha ini mencerminkan komitmen Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti dalam memperkukuh sistem pendidikan TVET negara agar terus relevan, berkualiti dan berdaya saing.
Sepanjang lawatan tersebut, beliau telah meninjau fasiliti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) pelajar di Bengkel Akuakultur dan Makmal Makanan. Selain itu, beliau juga melihat demonstrasi pelajar menunjukkan kemahiran penyediaan kopi dalam mengendalikan mesin espresso dan teknik milk frothing yang sempurna sehingga kepada penghasilan latte art yang kreatif.
Lawatan ini turut membuka ruang interaksi dua hala antara pihak pengurusan tertinggi dan warga kolej, termasuk tenaga pengajar serta pelajar. Sesi ini memberi peluang untuk berkongsi pandangan, idea serta cadangan dalam usaha meningkatkan kualiti penyampaian pendidikan dan latihan.

