
KUCHING – Kejayaan manis dikecapi oleh alumni Sijil Fesyen dan Pakaian (SFP) Kolej Komuniti Kuching, Farah Batrisya Abdullah apabila rekaan busananya bertemakan Sillage dinobatkan sebagai pemenang utama pertandingan mereka pakaian sempena Fashion Showcase Exhibition Scentify Fragrance Meets Fashion 2025 anjuran Scentify by Enchanteur itu berlangsung di Farley Mall, Kuching di sini, baru-baru ini.
Menurut Pegawai Pembangunan Pelajar, Jefferyson Adam Henry Adam, 38, bahawa kejayaan ini bukan sahaja membuktikan bakat dan kreativiti alumni Kolej Komuniti Kuching, malah menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berkarya meskipun berdepan cabaran masa dan sumber.
“Rekaan Sillage yang mengambil inspirasi daripada aura keharuman yang tertinggal selepas seseorang pergi, kini menjadi simbol ketekunan dan dedikasi dalam dunia fesyen tempatan,” kata Jefferyson.
“Farah berjaya menyiapkan rekaan Sillage dalam tempoh hanya dua minggu, meskipun berdepan cabaran kekangan masa kerana bekerja sepenuh masa di sebuah butik fesyen dari jam 9 pagi hingga 6 petang.
“Farah merupakan bekas pelajar saya yang tekun, mudah memahami arahan dan memiliki daya adaptasi yang tinggi walaupun saya memberi bimbingan untuk menyiapkan busana Sillage secara jarak jauh,” ujar Jefferyson lagi.
“Selaku pensyarah pembimbing saya hanya memantau proses menyiapkan Sillage dengan mengguna kaedah melalui perbincangan secara atas talian.
“Malah pemilik butik yang juga merupakan alumni Kolej Komuniti Kuching, Siti Tazilah Naroden turut membantu dengan membenarkan Farah menyiapkan rekaan di butik Taz Collection milik beliau selepas waktu kerja,” kata Jefferyson.
Terdahulu pertandingan mereka pakaian anjuran Scentify by Enchanteur turut disertai oleh pelajar semester 3 Sijil Fesyen dan Pakaian Kolej Komuniti Kuching iaitu Sharifah Nia Ramadhani serta tiga orang pelajar dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).