Sisa plastik sebagai bahan turapan jalan

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
18 July 2024
RENCANA

Pada tahun 2030, peningkatan populasi manusia dijangka akan mencecah sehingga 8.5 bilion dan seterusnya adalah 9.8 bilion di tahun 2050. Peningkatan populasi manusia yang berlaku ini juga turut menyebabkan berlakunya permintaan terhadap proses pembandaran di seluruh dunia. Proses pembandaran sering mendapat permintaan yang tinggi seiring dengan peningkatan populasi manusia melalui penyediaan pembangunan infratruktur yang baik bagi kelangsungan ekonomi dan kehidupan harian. Proses pembandaran melibatkan beberapa komponen penting antaranya adalah penyediaan akses jalan bagi menghubungkan sesebuah bandar ke bandar yang lain. Penyediaan akses jalan melalui pembinaan infrastruktur jalan adalah komponen yang sangat penting bagi sesebuah bandar. Permintaan yang tinggi terhadap proses pembandaran ini juga turut melibatkan pembinaan infrastruktur jalan di seluruh dunia. Namun, jika melihat kepada unjuran bahan binaan jalan di masa akan datang, ianya adalah semakin berkurangan dan terhad. Kesan pengurangan bahan binaan ini sedikit sebanyak akan menyebabkan proses pembandaran menjadi terhad ataupun kosnya menjadi semakin tinggi.

Sementara itu, komponen pembinaan jalan raya terbahagi kepada beberapa bahagian. Bahagian pertama adalah bahagian tanah. Bahagian tanah ini merupakan bahagian lapisan yang paling bawah dalam struktur pembinaan jalan. Kebiasaannya, tanah jenis berpasir akan digunakan di bahagian ini. Bahagian ini akan dimampatkan dengan mengikut spesifikasi atau reka bentuk yang telah dikira terlebih dahulu oleh jurutera jalan raya. Seterusnya adalah bahagian asas atau dasar. Antara bahan di bahagian ini adalah dengan menggunakan batu baur kasar yang telah dihancurkan. Bahagian asas dasar ini dimampatkan dengan menggunakan mesin pemampat bagi mencapai kekuatan mampatan yang telah dikira.

Selepas bahagian ini siap dimampatkan, bahagian yang seterusnya adalah bahagian asas jalan yang mana bahan yang digunakan adalah dengan menggunakan batu baur kasar. Permukaan jalan iaitu lapisan penghaus dan lapisan pengikat terdiri daripada campuran bitumen (atau asfalt), batu baur kasar dan halus dan juga bahan tambah (seperti simen atau kapur terhidrat) pada kadar peratusan yang telah ditentukan pada peringkat awal.

Bahan-bahan di setiap komponen pembinaan jalan raya terebut merupakan bahan-bahan semula jadi dan asas yang mana ianya semakin berkurangan bagi memenuhi kehendak terhadap pembinaan jalan raya di masa akan datang. Terutama sekali di bahagian permukaan jalan yang mana bahan-bahan seperti bitumen adalah berasal daripada proses penyulingan petroleum. Kita semua sedia maklum bahawa minyak mentah merupakan sumber yang tidak boleh diperbarui. Permintaan terhadap minyak mentah pada masa kini sangatlah tinggi.

Apabila berlakunya permintaan yang tinggi terhadap penggunaan minyak mentah, ianya akan meningkatkan kos pembelian minyak mentah dan penggunaannya di dalam pelbagai industri. Oleh yang demikian, ianya akan menyebabkan kuantiti minyak mentah dunia akan semakin berkurangan dan menjejaskan permintaan di masa akan datang. Apabila perkara ini berlaku di masa hadapan, sedikit sebanyak ianya akan menjejaskan pembangunan di masa akan datang terutama sekali dalam aspek pembinaan jalan raya yang mana di bahagian permukaan jalan menggunakan bitumen yang dihasilkan daripada minyak mentah.

Isu ini bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang ringan kerana seperti yang telah diketahui, unjuran perkembangan populasi manusia di dunia akan terus meningkat di masa akan datang. Seterusnya peningkatan populasi manusia ini pastinya mempunyai permintaan terhadap pembangunan infrastruktur bagi memenuhi kelangsungan ekonomi dan kehidupan sosial. Namun apakah yang akan terjadi sekiranya bahan binaan tidak mencukupi bagi pembangunan infrastruktur dan apakah penyelesaian jangka masa panjang bagi membendung masalah ini? Semestinya isu ini akan membantutkan perkembangan ekonomi dan kelangsungan kehidupan populasi manusia di masa akan datang.

Pelbagai kajian di peringkat akademik mahupun industri mengkaji bagaimana caranya untuk memastikan bahan binaan dapat berdaya tahan di masa akan datang. Terutama sekali bahan binaan yang berasal daripada sumber yang tidak boleh diperbaharui. Kajian-kajian yang dilaksanakan amatlah penting dan akan memberikan impak yang besar dalam memastikan bahan binaan pada masa kini berdaya tahan bagi memenuhi keperluan di masa akan datang.

Fokus utama dalam pembinaan jalan raya pastinya adalah berkaitan bahan binaan yang sumbernya daripada minyak mentah yang merupakan sumber yang tidak boleh diperbaharui. Antara komponen bahan binaan yang berasal daripada minyak mentah adalah bitumen. Bitumen merupakan bahan binaan yang dicampurkan dengan batu baur di bahagian permukaan jalan. Fungsi bitumen adalah merupakan bahan pengikat batu baur. Dalam bahasa pasarnya, bitumen merupakan sebuah bahan yang berfungsi sebagai gam untuk mengikat di antara batu baur secara tersendiri.

Selain itu, bitumen juga merupakan bahan kalis air supaya air tidak diresapi ke dalam bahagian lapisan pembinaan jalan dan seterusnya mengurangkan kekuatan mampatan rekabentuk terhadap setiap lapisan pembinaan jalan. Fungsi terakhir bitumen dalam pembinaan jalan adalah sebagai bahan rintangan gelinciran atau dikenali sebagai skid resistance. Jadi, peranan bitumen dalam pembinaan jalan amatlah penting dimana ianya adalah merupakan bahan utama penggunaannya.

Kajian yang berterusan telah dijalankan terhadap penggantian kepada bahan bitumen. Berdasarkan kajian yang dijalankan, para pengkaji menggunakan bahan kitar semula bagi menggantikan bitumen dalam pembinaan jalan raya. Seperti yang telah dijangkakan bahawa bahan bitumen ini akan menjadi semakin berkurang di masa akan datang. Kesan daripada kekurangan bahan binaan ini telah berlakunya peningkatan mendadak terhadap penggunaan bahan kitar semula sebagai bahan eko-alternatif dalam pembinaan turapan jalan. Bahan kitar semula yang digunakan semula dalam pembinaan turapan jalan boleh dijadikan sebagai langkah alternatif bagi pembangunan berdaya tahan di masa akan datang.

Antara bahan kitar semula yang digunakan dalam menggantikan bitumen adalah seperti penggunaan sisa plastik. Dalam pada itu seperti yang diketahui, bahan plastik adalah merupakan bahan yang berasal dari sumber yang sama dengan bitumen iaitu daripada minyak mentah. Oleh yang demikian, sisa plastik merupakan bahan yang berpotensi untuk menggantikan bitumen dalam pembinaan jalan raya. Berdasarkan kepada statistik bagi pembuangan sisa plastik, dianggarkan bahawa sebanyak 350 juta tan metrik sisa plastik dihasilkan untuk setiap tahun. Nilai ini akan terus meningkat dari tahun ke tahun. Nilai unjuran yang dianggarkan pada tahun 2060 pula mencecah kepada tiga kali ganda daripada nilai sedia ada dalam penghasilan sisa plastik. Hasil penilaian, hanya sebanyak 10 peratus sahaja sisa plastik ini dikitar semula untuk digunakan dalam perkara lain. Hal ini sememangya menjadi suatu kerugian kerana sisa plastik boleh dikitar semula untuk kegunaan perkara yang lain. Jadi, penggunaan sisa plastik ini dalam pembinaan jalan raya sememangnya menjadi suatu pendekatan serampang dua mata. Pertamanya, ianya dapat mengurangkan kebergantungan sepenuhnya terhadap bitumen dan seterusnya ianya dapat meningkatkan peratusan kadar kitar semula sisa plastik.

Sisa plastik yang ingin digunakan untuk dijadikan bahan binaan jalan perlu melalui proses tertentu. Sisa plastik yang dikumpulkan akan dimampatkan dan seterusnya akan dicairkan melalui system pembakaran. Sisa plastik yang cair tersebut akan ditambahkan dengan beberapa bahan kimia dan seterusnya akan dicampurkan dengan bitumen untuk dijadikan sebagaia bahan binaan.

Jika terdahulunya, pembinaan jalan raya menggunakan 100 peratus penggunaan bitumen, kini dengan bahan sisa plastik yang telah diproses menjadikan penggunaan bitumen hanya sekitar 30 hingga 70 peratus sahaja yang mana selebihnya adalah daripada bahan sisa plastik. Kajian lepas telah menunjukkan bahawa untuk setiap 100 meter, sebanyak 79 kilogram sisa plastik dapat digunakan sebagai bahan pengubahsuai bitumen dalam pembinaan jalan raya.

Seterusnya, jika konsep ini dipraktikan bermula daripada sekarang, secara tidak langsung ianya dapat meningkatkan daya tahan terhadap pembangunan infrastruktur dan pengurusan sisa pepejal. Bahan sisa plastik dalam pembinaan jalan raya mempunyai fungsi yang sama dengan bitumen. Bahan sisa plastik yang telah diproses dan dicampurkan dengan bitumen berfungsi seperti gam terhadap batu baur untuk permukaan jalan. Ianya menjadi pengikat dan berperanan juga sebagai kalis air bagi permukaan jalan.

Namun pastinya terdapat keraguan terhadap penggunaan sisa plastik bagi menggantikan bitumen dalam pembinaan jalan raya. Hasil kajian yang dijalankan ternyata ianya memberikan hasil yang positif. Penggunaan bahan sisa plastik di dalam campuran bitumen berupaya meningkatkan kekuatan dan jangka hayat permukaan jalan. Kajian oleh penyelidik terdahulu mendapati bahawa penggunaan bahan pengubahsuai ini mampu meningkatan jangka hayat permukaan jalan sehingga 25 peratus berbanding dengan jalan konvensional.

Perkembangan positif penggunaan bahan sisa plastik ini mampu dijadikan sebagai rujukan yang mana ianya boleh dijadikan sebagai konsep utama dalam pembinaan jalan. Selain itu, penggunaan bahan sisa plastik ini juga mampu meningkatkan ketahanan sesebuah permukaan jalan terhadap kenderaan beban yang berat. Penggunaan bahan sisa plastik juga mampu mengurangkan masalah lekuk ataupun rutting bagi sesebuah permukaan jalan.

Berdasarkan dengan keputusan kajian yang positif terhadap penggunaan sisa plastik dalam binaan jalan, jelas dapat dilihat bahawa sememangya penggunaan sisa plastik adalah merupakan satu keputusan yang tepat dalam menggantikan bitumen bagi pembinaan jalan raya. Konsep pembinaan yang menggunakan bahan binaan ini boleh dipraktikkan secara meluas memandangkan impaknya yang positif terhadap aspek reka bentuk dan alam sekitar.

Pastinya dengan mengamalkan konsep pembinaan seperti ini, peratusan penggunaan sisa plastik untuk dikitar semula akan terus meningkat dari tahun ke tahun. Pembekalan bahan bitumen juga dapat dioptimumkan dan seterusnya memberikan impak daya tahan bagi tujuan kegunaan di masa akan datang. Walaupun konsep penggunaan bahan sisa plastik ini perlu dikaji dengan lebih mendalam, namun secara dasarnya ianya memberikan impak yang positif terhadap pembinaan jalan.

Kesimpulannya, bahan sisa plastik memberikan pulangan yang baik untuk jangka masa panjang. Penggunaan bahan sisa plastik dalam pembinaan jalan perlu diperluaskan kerana sumbangannya yang begitu besar terhadap pembangunan infrastruktur jalan serta alam sekitar. Penggunaan bahan kitar semula seperti bahan plastik ini merupakan satu tindakan yang tepat dalam menghasilkan sesebuah binaan jalan yang berkualiti terhadap pengguna jalan raya serta alam sekitar.

Penulis :

Mohammad Adzim Firdaus Bin Sharif
Pelajar Sarjana, Jabatan Kejuruteraan Awam
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor.

Dr. Ahmad Yusri Bin Mohamad
Pensyarah, Jabatan Kejuruteraan Awam
Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Pahang.

Prof. Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Bin Md Yusoff
Pensyarah, Jabatan Kejuruteraan Awam
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti