Status OKU tidak halang untuk sertai Kursus Usahawan Kafe Barista

KOLEJ KOMUNITI SEGAMAT
24 November 2024
Komuniti

23 November 2024, Segamat – Telah berlangsung Majlis Penutupan Program Pembangunan Anak-Anak Asnaf – Usahawan Café Barista di Café Kopi dan Laksa anjuran Kolej Komuniti Segamat Johor (KKSJ) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ). Kursus yang disertai oleh 15 orang anak-anak asnaf dari seluruh negeri Johor ini telah berlangsung selama 9 hari ini bertujuan untuk memberi kemahiran dan latihan kepada peserta dalam bidang penyediaan minuman kopi profesional dengan penekanan terhadap aspek kemahiran, kreativiti, serta pengurusan perniagaan kafe.

Pada majlis tersebut, wakil dari MAINJ, Ustaz Khairul Anwar Bin Isnin, Amin Baitulmal Majlis Agama Islam Johor Daerah Segamat telah merasmikan penutupan majlis tersebut. Beliau menyentuh tentang pentingnya latihan kemahiran dalam usaha membantu meningkatkan taraf hidup golongan yang kurang berkemampuan. “Melalui kursus seperti ini, kita bukan sahaja memberikan ilmu yang boleh digunakan dalam pekerjaan harian, tetapi juga memberi peluang kepada peserta untuk menjadi usahawan dalam industri kafe yang semakin berkembang,” kata beliau.

Kursus Café Barista ini merupakan sebahagian daripada inisiatif MAINJ dalam membantu golongan asnaf untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Dengan memberi mereka kemahiran dalam industri perkhidmatan makanan dan minuman, MAINJ juga berharap para peserta dapat memperoleh pekerjaan yang stabil atau memulakan perniagaan sendiri. Hal ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi keluarga mereka, sekaligus mengurangkan beban sosial yang sering dihadapi oleh golongan ini.

Penghargaan juga diberikan kepada pihak KKSJ yang telah bekerjasama dalam menjayakan program ini khasnya dalam menjalankan kursus dan menguruskan kursus ini. Pihak kolej telah menyediakan fasiliti dan tenaga pengajar yang berpengalaman serta modul untuk memastikan kursus ini berjalan lancar. Dalam ucapan terima kasihnya, Timbalan Pengarah (Akademik) Kolej Komuniti Segamat Johor, Ts. Nazila Masdor, menyatakan komitmen pihaknya dalam meneruskan kerjasama dengan MAINJ untuk melaksanakan lebih banyak program latihan kemahiran seperti ini bagi memperkasakan golongan belia dan asnaf. Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih di atas penajaan kursus ini daripada pihak MAINJ.

Selain itu, MAINJ juga berperanan dalam meningkatkan kemahiran dalam kalangan umat Islam, yang menjadi fokus utama dalam setiap program yang dijalankan. MAINJ mengambil langkah proaktif untuk memberi ruang kepada golongan berpendapatan rendah, terutamanya asnaf, untuk memperoleh kemahiran yang relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa. Dengan adanya kursus seperti ini, golongan tersebut diberikan peluang untuk meningkatkan taraf hidup dan membuka lembaran baharu dalam kehidupan mereka.

Para peserta yang berjaya menamatkan kursus ini telah diberikan sijil sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka. Salah seorang peserta, Muhammad Fatihin Ismail, yang merupakan seorang OKU, meluahkan rasa terharu dan syukur kerana mendapat peluang ini. “Kursus ini bukan sahaja memberi saya kemahiran baru, tetapi ia juga memberi saya harapan untuk mengubah hidup saya, apatah lagi kopi sekarang sedang menjadi trend,” ujar Muhammad Fatihin dengan penuh semangat. Beliau juga berhasrat untuk membuka perniagaan berasaskan kopi jika ada peluang suatu hari nanti. Beliau telah menyertai kursus ini bersama kakaknya Siti Aishah Ismail.

Kejayaan kursus ini bukan sahaja menjadi batu loncatan kepada golongan asnaf, tetapi juga menunjukkan komitmen Majlis Agama Islam Johor dalam memperkukuhkan ekonomi umat Islam di negeri ini, melalui penyediaan kemahiran yang relevan untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan perniagaan.

Majlis ini turut dihadiri oleh pelbagai pihak termasuk wakil MAINJ, KKSJ, serta para peserta yang terdiri daripada golongan asnaf dan belia di negeri Johor dan kawasan sekitar dengannya.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti