
Suara.TV
Oleh Zihan Zari
LANGKAWI – Sukan bukan sekadar aktiviti rekreasi malah landasan penting dalam membentuk sahsiah pelajar yang berdaya saing dan berkualiti.
Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dato’ Dr. Mohd Zahari Ismail, berkata pengiktirafan yang diberikan adalah bukti bahawa kecemerlangan dalam sukan perlu diraikan seiring dengan pencapaian akademik.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan Politeknik Malaysia, Polytechnic Sports Excellence Award (POLYSEA) 2024 di Aloft Langkawi, Pantai Tengah, dekat sini baru-baru ini.
“Kejayaan yang dicapai oleh atlet politeknik bukanlah hasil usaha sehari dua, tetapi lahir daripada komitmen, disiplin, dan semangat juang yang tinggi.
“Saya ingin mengucapkan syabas kepada semua penerima anugerah yang telah berusaha gigih demi mengharumkan nama institusi dan negara.
“Majlis berprestij ini sebagai satu penghormatan kepada atlet, jurulatih, serta penggiat sukan yang telah mengharumkan nama politeknik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, ”katanya.
Terdahulu Pengerusi Majlis Sukan Politeknik (MSP) Azirin Abdul Aziz , berkata, majlis ini bukan sekadar mengiktiraf prestasi unggul para atlet malah sebagai penghargaan kepada semua yang telah berusaha di sebalik kejayaan ini.
“Terima kasih kepada jurulatih, pengurus pasukan, pegawai sukan, serta semua individu yang telah mencurahkan dedikasi demi memastikan Politeknik Malaysia terus cemerlang dalam arena sukan,”katanya.
“Sepanjang tahun 2024, Politeknik Malaysia telah mencapai pelbagai kejayaan yang membanggakan.
“Antaranya, Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT 2024), Asian University Games 2024, Surabaya, Indonesia, Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak, South East Asia Canoe Championship 2024 dan ICF World Dragon Boat Championship 2024.
“Kejayaan demi kejayaan ini membuktikan bahawa atlet Politeknik Malaysia bukan sahaja cemerlang di peringkat kebangsaan, malah di peringkat antarabangsa, ”katanya lagi.
Dalam pada itu atlet olahraga, Umar Osman dari Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Johor telah dinobatkan sebagai Olahrgawan Politeknik Malaysia.
Manakala Valerie anak Juan atlet ragbi Politeknik METrO Betong Sarawak pula telah dinobatkan sebagai Olahragawati Politeknik Malaysia.
“Saya meminati sukan sejak bangku sekolah lagi dan suka berlari maka mulai menyertai olahraga kerana minat berlari.
“Harapan kepada semua pelajar Politeknik yang lain semoga aktif bersukan untuk kesihatan dan membahagikan masa dalam beriadah dan juga masa belajar, ”kata Umar.
Valerie pula berkata, dia meminati sukan ragbi sejak diusia 15 tahun lagi dan sukan ini memerlukan kerjasama pasukan untuk mencapai kejayaan selain dapat mengenali ramai kawan.
“Nasihat kepada semua pemain agar sentiasa bekerja keras dan berusaha sehingga berjaya, ”katanya.
Antara penerima Anugerah POLYSEA 2024:
Menerusi kenyataan oleh POLIMAS memaklumkan POLYSEA 2024 menjadi medan pengiktirafan kepada atlet dan pegawai sukan yang telah menyumbang kepada kecemerlangan sukan politeknik, bukan sahaja di peringkat institusi, malah dalam kejohanan kebangsaan dan antarabangsa.
“Kejayaan PIS merangkul Anugerah Politeknik Terbaik serta Politeknik Perak dinobatkan sebagai Juara Polytechnic Sports Challenge menunjukkan komitmen institusi dalam melahirkan atlet bertaraf tinggi.
“Majlis ini juga turut mengiktiraf tokoh sukan dan ikon sukan yang telah banyak berjasa dalam pembangunan sukan politeknik.
“Antaranya, Zainab Othman yang menerima Anugerah Tokoh Sukan, dan Fairul Izwan Abdul Muin yang dinobatkan sebagai Ikon Sukan.
“Acara anugerah ini dianjurkan oleh MSP dengan kerjasama Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) sebagai tuan rumah bagi edisi kali ini,”tambahnya. – SUARA.TV